Malaysia Dateline

Pembekal aplikasi MySejahtera syarikat Amerika, milik rakyat Singapura

Pembekal perkhidmatan kepada aplikasi kesihatan Malaysia, MySejahtera iaitu KPISoft Sdn Bhd adalah anak syarikat milik syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, KPISoft, yang dimiliki oleh rakyat Singapura, dakwa seorang penulis politik.

Adrian Lim Chee En dalam satu tulisan di Facebook beliau menukilkan, KPISoft diasaskan pada tahun 2008 oleh seorang warganegara Singapura yang bernama Dr. Finian Tan.

DR FINIAN TAN

Dr. Finian Tan adalah warganegara Singapura yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura sebelum memulakan kerjaya dalam bidang big data dan ICT,” tulis Adrian.

Pendedahan Adrian dipercayai untuk menyindir para penyokong BN dan Pas sebelum ini yang menyerang program e – tunai kerajaan Pakatan Harapan yang dikatakan tidak selamat kerana ia dibuat oleh DAP untuk mencuri data rakyat Malaysia.

“Ini saya nak kantoikan lagi Kerajaan Melayu Islam PN yang kencing kepala orang Melayu sampai bau hancing,” tulis Adrian ketika mendedahkan perkara ini dengan memberi beberapa rujukan mengenai KPISoft.

Katanya, pada tahun 2008, Dr. Finian telah membangunkan KPISoft sebelum membawa KPISoft ke peringkat antarabangsa.

Ibu pejabat KPISoft kini terletak di Houston Texas, Amerika Syarikat.

“Selepas berjaya di peringkat antarabangsa barulah KPISoft cuba tembus pasaran Malaysia dengan mendaftarkan KPISoft Sdn Bhd di Malaysia.

“Melalui dua Ali Baba warganegara Malaysia, the real KPISoft yang berpengkalan di Amerika Syarikat telah mendaftarkan KPISoft Sdn Bhd pada tahun 2010,” tulis beliau lagi.

Kataya, seperti mana-mana syarikat asing yang ingin menembus pasaran Malaysia, ibu syarikat asal itu akan mendaftarkan sebuah syarikat tempatan di Malaysia.

“Macam Honda asalnya Jepun, tetapi Honda Malaysia didaftarkan di Malaysia apabila Honda nak masuk Malaysia. Macam TESCO asalnya United Kingdom sejak tahun 1919, tetapi TESCO Malaysia didaftarkan di Malaysia apabila TESCO nak masuk Malaysia.

“Honda atau TESCO tidak menjadi milik anak Malaysia semata-mata kerana mereka ada Ali Baba di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, meskipun saham majoriti KPISoft Sdn Bhd dimiliki dua warganegara Malaysia, ini tidak menjaminkan data yang diambil, direkod dan sebagainya tidak dikongsi bersama ibu syarikat KPISoft yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Staff KPISoft Amerika Syarikat.

“Ini bermakna, ianya bukan mustahil data dan butiran berpuluh juta rakyat Malaysia boleh diakses oleh the real KPISoft yang berpengkalan di Amerika Syarikat kerana mereka masih syarikat yang sama.

“Takkanlah kalau kamu ada cawangan kedai runcit kat Bagan Datok, wang atau hasil atau aset cawangan itu tidak dikongsi atau disentuh oleh kedai runcit ibu yang berpengkalan di Kuala Lumpur? Betul tak?” tulis beliau.

“Begitulah fakta asal usul KPISoft yang membangunkan MySejahtera. Kononnyalah KPISoft Sdn Bhd adalah syarikat Malaysia.

“Hakikatnya KPISoft Sdn Bhd adalah Ali Baba kepada the real KPISoft yang berpengkalan di Amerika Syarikat yang diasaskan oleh warganegara Singapura,” kata Adrian.

Adrian membidas penjelasan kerajaan bahawa KPISoft adalah syarikat Malaysia.

Menurut Adrian, baru-baru ini terbongkar bahawa pembina aplikasi MySejahtera merupakan syarikat asing.

“Kerajaan Malaysia pula menafikan perkara ini dengan alasan bahawa syarikat ini syarikat Malaysia yang dimiliki warganegara Malaysia sejak tahun 2010.

“Benar apa yang dikatakan Kerajaan Malaysia. Tetapi apa yang tidak diberitahu oleh Kerajaan Malaysia adalah KPISoft Sdn Bhd merupakan anak syarikat the real KPISoft yang berpangkalan di Amerika Syarikat,” tulisnya lagi.