Pembelaan tarik rayuan, bicara kes rasuah Rosmah kekal di Mahkamah Tinggi

Pembelaan tarik rayuan, bicara kes rasuah Rosmah kekal di Mahkamah Tinggi

Rosmah Mansor bersetuju dengan permintaan pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan kes rasuah beliau berhubung projek solar di Sarawak di Mahkamah Tinggi tahun depan.

Ini berikutan keputusannnya hari ini untuk mengetepikan rayuan beliau di Mahkamah Rayuan bagi mencabar langkah memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh memberitahu panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Abdul Rahman Sebli bahawa pihak pembelaan menarik balik rayuan.

Ia juga memfailkan satu notis pemberhentian kepada pendaftar Mahkamah Rayuan semalam.

“Kami memutuskan tidak meneruskan rayuan ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Mei,” katanya seperti dipetik FMT.

Rosmah tidak hadir di mahkamah hari ini.

Timbalan pendakwa raya Mohd Farizul Hassan Bakri berkata, beliau tidak membantah penarikan itu.

Rahman yang hadir bersama-sama Kamardin Hashim dan Harminder Singh kemudiannya membatalkan rayuan berkenaan.

Pada 30 Mei, hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwa untuk membicarakan Rosmah bersekali dengan bekas pegawai khas Najib Razak, Rizal Mansor, dalam kes rasuah melibatkan mereka.

Perbicaraan bersama itu dijadual bermula pada 3 Feb hingga 30 April 2020.

Zaini juga menolak permohonan pendakwa untuk mendengar 17 pertuduhan pengubahan wang haram ke atas Rosmah bersama-sama dengan pertuduhan rasuah beliau.

Pada 15 Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwa untuk memindahkan kes rasuah Rosmah dari Mahkamah Sesyen.

Pada 15 Nov tahun lepas, Rosmah 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 2 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek menyediakan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di sarawak.

Rizal, 46, mengaku tidak bersalah pada hari sama atas 4 pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek sama.

Pada 4 Oktober tahun lepas, Rosmah turut mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan beliau kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.