Malaysia Dateline

Pembeli rumah Gong Cempedak demo lagi, tuntut Adun yang juga MB Terengganu bantu

Setahun lalu, selepas mereka membuat demo agar wakil rakyat mereka yang juga Menteri Besar Terengganu membantu mereka, kerajaan negeri telah berjanji akan membantu mereka.

Namun selepas setahun lebih berlalu, janji tinggal janji. Rumah mereka di Kampung Gong Cempedak, Rhu Rendang tidak berubah.

Hari ini, sekali lagi mereka berdemo dengan pergi ke tapak rumah mereka yang terbengkalai itu.

Mereka menaikkan sepanduk agar kerajaan negeri yang diketuai oleh wakil rakyat mereka sendiri itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, membantu mereka.

Bahkan yang lebih menyedihkan mereka, ahli Parlimen mereka adalah Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkuasa penuh ke atas parti yang memerintah kerajaan negeri Terengganu sekarang.

“Segera tunaikan janji”, “Kami pembeli teraniaya!”, “Bila rumah nak siap” adalah bunyi sepanduk yang mereka naikkan dalam demonstrasi aman itu.

Pada 28 April tahun 2021 lalu, mereka berdemo di depan pejabat MB Terengganu.

Ia juga berjalan di bulan puasa, menjelang Aidil Fitri sebagaimana sekarang.

Ia dilakukan selepas dua pucuk surat diutuskan mereka kepada MB Terengganu yang ada yang juga wakil rakyat kawasan mereka, iaitu pada 2020 dan satu lagi pada awal tahun 202.

Berdasarkan dua surat yang dihantar kepada Menteri Besar, pembelian rumah itu dibuat pada tahun 2016 dan dijangka siap pada 2018, namun sehingga kini (2021) rumah tersebut masih terbengkalai.

Pada masa yang sama, pinjaman perumahan masih terus dibayar kepada pihak bank sehingga kini walaupun projek tersebut sudah terbengkalai, lapor laman Terengganufokus.com ketika itu.

Selepas demo itu, kerajaan negeri Terengganu melalui laman rasmi kerajaan negeri, TRDI.my.

Projek Rumah Gong Cempedak Berjalan Selepas Urusan Tanah, Bank Selesai” bunyi tajuk berita laman rasmi kerajaan negeri itu berdasarkan kenyataan Exco Kerajaan Terengganu, Dr Alias Razak.

Dalam berita itu, media rasmi kerajaan negeri itu berlepas tangan apabila berkata, ia bukan projek di bawah kerajaan negeri.

Namun, selepas setahun berlalu tidak ada kemajuan kepada rumah mereka.

Ekoran itu, hari ini mereka berdemo lagi bagi memohon kerajaan negeri membantu mereka menyelesaikan masalah mereka.