Malaysia Dateline

Pembeli rumah terbengkalai sekali lagi hantar memo kepada MB Terengganu

(GAMBAR ATAS: Tidak ada sebarang perubahan walaupun mereka dijanjikan projek perumahan terbengkalai ini akan bermula selepas Hari Raya Aidil Fitri yang lalu)

PEMBELI rumah projek perumahan di kawasan Menteri Besar Terengganu sekali lagi menghantar memorendum kepada beliau apabila projek yang dijanjikan disambung semula selepas Aidil Fitri  (12 Mei 2021) lepas tidak bergerak.

Abdul Halim di depan pejabat MB Terengganu selepas menyerahkan memorendum kali kedua hari ini.

Menurut Abdul Halim Mohamed, wakil pembeli rumah itu, penyerahan memorandum kali kedua kepada Pejabat MB Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  hari ini, 13 September 2021 bersama-sama wakil-wakil pembeli.

“Penyerahan memorandum ini dibuat kerana tiada maklumbalas diterima daripada kerajaan negeri Terengganu,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Mereka hanya berjaya meletakkan memorandum itu di kaunter pejabat MB sahaja tanpa sebarang wakil menerimanya.

Di Pejabat Exco Perumahan pula, mereka juga tidak berjaya berjumpa dengan exco berkenaan tetapi hanya menyerahkan memorandum itu kepada wakil beliau.

Hujung April lepas, mereka telah menghantar memorandum mengenai projek yang sama dan dijanjikan projek terbekalai itu akan bersambung selepas Hari Raya Aidil Fitri lepas.

“Apa yang diberitahu dalam media bahawa projek ini akan berjalan lepas hari raya, tidak berlaku pergerakan sama sekali.

“Oleh kerana itu, hari ini diserahkan lagi memorandum kali kedua.

“Semoga ada sinar buat kami pembeli Projek Perumahan di Taman Sri Purnama, Kampung Gong Cempedak, Seberang Marang, Terengganu,” kata beliau penuh harapan.

Mereka menggesa agar MB Terengganu, Dr Ahmad Samsuri dan Exco Kerajaan Negeri Terengganu lebih cakna dan dapat memantau projek ini dengan lebih dekat lagi agar pihak pemaju bertanggungjawab menyiapkan rumah mereka dalam masa terdekat.

Pembeli rumah projek terbengkalai di kawasan yang diwakili MB Terengganu mengangkat sepanduk di depan pejabat MB hujung April lepas.

Pada 28 April lepas, pembeli rumah yang terletak di kawasan Dun Rhu Rendang yang diwakili Samsuri itu menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu bagi mendesak campur tangan beliau.

Memorandum itu diserahkan oleh mereka kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar menjelang waktu tengahari hari.

Mereka mendesak agar Samsuri yang merupakan Adun kawasan mereka campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak sekian lama itu.

Pembelian rumah itu dibuat pada tahun 2016 dan dijangka siap pada 2018, namun sehingga kini (2021) rumah tersebut masih terbengkalai.

Pada masa yang sama, pinjaman perumahan masih terus dibayar kepada pihak bank sehingga kini walaupun projek tersebut sudah terbengkalai.

Sebelum Samsuri, Adun kawasan ini adalah Presiden Pas yang juga ahli parlimen Marang sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.