Malaysia Dateline

Pembelian helikopter: Rundingan di peringkat akhir Peguam Negara dan MOF

 Kementerian Pertahanan sedang dalam perundingan terakhir bersama Peguam Negara (AG) dan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta yang masih belum diterima.
Mohamad Sabu berkata, isu pesawat berkenaan yang sepatutnya diterima kementeriannya pada November 2017, akan diselesaikan secepat mungkin.
“Berhubung isu helikopter itu, sudah di jawab oleh pihak kementerian.
“Sekarang ini kami diperingkat dalam perundingan terakhir dengan pihak Kementerian Kewangan dan Peguam Negara. Kami akan membuat keputusan yang secepat mungkin untuk menyelesaikan isu itu.
“Peguam Negara juga dah bincang dengan kami pihak kementerian pertahanan dan juga menteri kewangan,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Bulan Integriti Tahun 2019 dan pelancaran Buku Polisi Antirasuah Kementerian Pertahanan.
Turut hadir, Timbalannya, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki; dan Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung helikopter tempur ringan MD 530G yang dikeluarkan MD Helicopters dari Amerika Syarikat (AS), masih belum dihantar.
Sebuah portal berita turut melaporka ATM didakwa belum menerima enam helikopter tempur ringan bernilai RM300 Juta yang mana perolehan aset telah dibuat pentadbiran terdahulu.
 Angkat tema Integriti Teras Pertahanan Negara
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pertahanan akan mengangkat tema ‘Integriti Teras Pertahanan Negara’ sempena Bulan Integriti 2019 yang disambut pada November setiap tahun.
Jelasnya, tema tersebut bertepatan dengan objektif utama kementerian iaitu melindungi dan mempertahankan kepentingan negara yang menjadi teras kepada kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan ekonomi.
“Ia selari dengan salah satu fokus halatuju kementerian bagi tahun 2020 iaitu meningkatkan integriti dalam tatacara pengurusan kewangan dan perolehan selaras dengan janji Pakatan Harapan untuk memastikan kerajaan mempunyai peracangan yang mampan dalam mentadbir negara,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Mohamad turut melancarkan Buku Polisi Antirasuah yang merupakan sebahagian hasil komitmen Anggota Pentadbiran dan Pengurusan Tertinggi.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memastikan warga MINDEF berintegriti dan menolak rasuah iaitu dengan melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang telah dipersijilkan oleh SIRIM QAS Sdn. Bhd. pada Julai 2019.
Menurutnya, ABMS akan menekankan kepada pelan tindakan dan strategi ke atas setiap warga termasuk komitmen anggota pentadbiran dan pengurusan tertinggi dalam menangani rasuah.
“MINDEF sedang dalam peringkat menyediakan Pelan Antirasuah MINDEF bagi menangani gejala rasuah. MINDEF tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan integriti dan rasuah.
“Buktinya adalah dengan mengambil tindakan dan melaporkan beberapa kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti ‘Land Swap’ yang membabitkan pembinaan kem di Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak pada tahun 2017 yang melibatkan kos RM59.95 juta.
“Selain itu, kes pembelian helikopter tempur ringan MD530G yang masih belum dibekalkan walaupun telah dibayar sebanyak 35 peratus daripada nilai kontrak iaitu RM112.7 juta juga dilaporkan.
“Kami juga akan mengambil tindakan segera ke atas semua aduan-aduan berhubung penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan salah laku integriti,” ujarnya.