Malaysia Dateline

Pembelian vaksin: AMANAH desak adakan sidang DUN Khas Sarawak

AMANAH Negeri Sarawak mendesak agar diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan isu pembelian vaksin Covid-19 di negeri itu.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkanaen, AMANAH Sarawak menyokong penuh cadangan dan saranan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen bagi menggesa supaya sidang khas itu dapat diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, AMANAH Sarawak juga tidak membantah segala usaha kerajaaan Gabungan Parti Sarawak untuk membendung penularan Covid-19 daripada terus menulaar ketika ini.

Bagaimanapun, tegasnya pembelian vaksin daripada kerajaaan Sarawak merupakan kepentingan awam yang melibatkan dana dan kepentingan rakyat yang perlu dibincang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pihak kerajaaan mahupun pembangkang

“Pembelian jenis vaksin dan maklumat perinci keberkesanan dan harga pembelian yang akan dibeli harus dibentangkan agar kesemua ADUN boleh berbahas mencari solusi terbaik.

“Vaksin yang dipersetujui bersama nanti mampu disalurkan oleh setiap ADUN kepada rakyat tanpa ada pandangan negatif,” jelas Hud Andri dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, sekiranya kerajaan negeri gagal mengadakan sidang khas itu, ia akan mengundang presepsi negatif kepada rakyat sekiranya sesuatu kesan buruk berlaku.