Pembentangan Belanjawan 2019 fasa pertama pembinaan Malaysia Baharu

Pembentangan Belanjawan 2019 fasa pertama pembinaan Malaysia Baharu

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pembentangan Belanjawan 2019 di parlimen Jumaat lalu merupakan fasa pertama dalam pembinaan Malaysia Baharu yang bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Kata beliau, pembinaan Malaysia Baharu mampu direalisasikan oleh usaha berani rakyat Malaysia selepas enam dekad, dan ia tidak mungkin dapat dicapai dalam masa seratus hari, atau enam bulan, tetapi mengambil masa satu atau dua dekad.

“Semua rakyat Malaysia mesti membangunkan Gambaran Besar dan perspektif serta visi Jangka Panjang.

“Tetapi permulaan yang penting untuk membina Malaysia Baharu telah dibuat dalam masa enam bulan lalu, untuk Malaysia memenuhi impian menjadi negara berkelas dunia.

“Dengan memanfaatkan aset bernilai menerusi kepelbagaian bangsa, agama, bahasa, budaya dan tamadun yang teradun di Malaysia,” katanya menerusi blognya hari ini.

Ujarnya lagi, waktunya telah tiba untuk rakyat Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa kita mampu:

1. Merubah Malaysia daripada kleptokrasi global kepada sebuah negara yang berintegriti.

2. Memulihkan doktrin demokrasi dan pemisahan kuasa dalam kalangan Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman.

3. Melaksanakan perubahan undang-undang ke arah lebih baik, termasuk menghapuskan undang-undang yang menindas dan tidak demokratik dan mewujudkan undang-undang yang menggalakkan demokrasi, kewibawaan dan pentadbiran yang baik.

4. Membangunkan Malaysia menjadi “harimau ekonomi” selepas menyelesaikan masalah “lubang hitam” membabitkan hutang negara trilion ringgit dan kelptokrasi global.

5. Memulihkan sistem pendidikan Malaysia untuk menjamin sekolah-sekolah rendah dan menengah kita, juga universiti setanding dengan yang pendidikan yang terdapat di negara-negara maju.

6. Membina Malaysia Baharu dengan perpaduan, integriti, demokrasi, kedaulatan undang-undang, kecemerlangan, keadilan dan kemakmuran yang lebih baik.

COMMENTS