Pembentangan RUU berkaitan MA63 ditangguh sementara

Oleh NASUHA RAHMAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditangguhkan buat sementara.

Katanya, ia adalah bagi memberi penjelasan seperti yang diminta oleh menteri-menteri selepas mesyuarat Kabinet 20 Oktober lepas.

“Sebenarnya RUU ini telah dibentang pada mesyuarat kabinet 20 Oktober lepas tetapi ada dua tiga menteri yang bertanya untuk penjelasan.

“Jadi kita sudah jemput peguam negara untuk beri penjelasan pada mesyuarat yang akan datang,”katanya kepada media di Kuching hari ini.

Jelas Wan Junaidi, secara prinsipnnya RUU tersebut telah dibentangkan kepada kabinet pada 20 Oktober lepas dan diluluskan.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tengah hari ini bagi mendapatkan keputuskan terakhir sebelum persidangan Isnin ini.

“Jadual asal, bacaan kali pertama adalah pada 26 Oktober manakala bacaan kali kedua dibahas dan diputus pada 28 Oktober ini.

“Kalau Perdana Menteri boleh memberi kebenaran untuk dibaca kali pertama, kita akan buat bacaan kali pertama.

“Tetapi jika tiada bacaan kali kedua, bermakna ia akan ditunda hingga pertengahan bulan Disember,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin Perdana Menteri bersikap terbuka dan mendengar semua pihak dan itu adalah sebabnya ditunda dan tergantung sedikit.