Malaysia Dateline

Pemberian bantuan sekolah Kelab Putera 1Malaysia merentasi sempadan politik

Pemberian bantuan persekolahan oleh Kelab Putera 1Malaysia (KPIM) tidak pernah mengambil kira ideologi politik ibu bapa pelajar yang menerima bantuan berkenaan, kata Pengerusi KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata bantuan yang diberikan adalah semata-mata mahu meringankan perbelanjaan rakyat khususnya ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

Di sini kita lihat walaupun 1,000 anak-anak sekolah yang menerima bantuan, tetapi kehadiran hampir 5,000… ibu bapa, keluarga, waris datang bersama, makan dan minum, bersembang dengan Meneri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Inilah yang kita buat pendekatan dengan rakyat.

Sesungguhnya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah usulkan satu kertas kerja pembentangan bajet yang cukup murni untuk membantu rakyat, bajet mesra rakyat yang mahu pastikan pada Januari ini, mereka (rakyat) akan dapat manfaatnya, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Happy 2 School di stadium tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini yang turut dihadiri Ahmad Razif.

Abdul Azeez berkata, bantuan kepada anak-anak sekolah di Parlimen Kuala Nerus itu merupakan yang ke-51 daripada 75 buah parlimen di seluruh negara.

Mengulas program itu katanya, Perdana Menteri telah mengarahkan KP1M ke seluruh negara bagi mengagihkan bantuan itu melibatkan peruntukan RM8 juta yang perlu diselesaikan pada 7 Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Keahlian & Daftar Pemilih Umno Malaysia berkata, bukan sahaja KP1M yang menghulurkan bantuan, malah pelbagai agensi-agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Telekom Malaysia (TM) turut serta menyampaikan bantuan.