Malaysia Dateline

‘Pemberian sumbangan di sekolah kewajipan saya’

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini menjelaskan, beliau ada memberi sumbangan RM5,000 ketika sesi perjumpaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chiao, di Kukup, Pontian, pada semalam.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan tersebut, Salahuddin bagaimanapun berkata, pihak sekolah telah menghantar surat permohonan sumbangan kepada beliau sebelum ini.

“Ya, memang saya bagi RM5,000 sebab surat tersebut telah dihantar kepada saya beberapa bulan yang lalu.

“Sebagaimana biasa, setiap sekolah-sekolah di negara ini, bukan hanya di Tanjung Piai, malah di parlimen saya (Parlimen Pulai) termasuklah guru-guru di sana, mengenali saya sebagai menteri daripada anak tempatan Tanjung Piai, mereka juga ada meminta sumbangan.

“Jadi, saya memberikan mereka sumbangan sama seperti sekolah-sekolah yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Salahuddin yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjelaskan demikian ketika ditanya pemberita mengenai penularan satu klip video yang menunjukkan beliau berceramah di sebuah sekolah berserta tulisan ‘sekolah tersebut telah disumbangkan sebanyak RM5,000. Rasuah ke?’

Ditanya mengapa beliau memberikan sumbangan ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Timbalan Presiden AMANAH itu berkata ia berlaku secara kebetulan.

“Kebetulan saya ada di situ semalam, saya pun berilah. Bagi saya, ianya tiada masalah dan itu (memberikan sumbangan kepada semua sekolah) memang kewajipan saya.

“Tidak ada undang-undang melarang untuk memberi sumbangan semasa atau selepas pilihan raya.

“Saya menteri. Saya boleh beri pada bila-bila masa, yang penting rakyat dapat sumbangan,” jelasnya lagi.

Semalam, Facebook Ops Johor memuat naik satu klip video berdurasi 1 minit 20 saat menunjukkan Salahuddin sedang memberi ucapan sempena perjumpaan bersama guru-guru di sekolah tersebut.

Memetik hantaran Facebook Ops Johor, dalam perjumpaan itu, pihaknya turut dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan telah menerima sumbangan berjumlah RM5,000 sambil mempersoalkan adakah itu sebagai rasuah.