Malaysia Dateline

Pembiayaan mikro tingkat taraf hidup usahawan tani wanita

Kerajaan menyediakan pembiayaan mikro menerusi skim Agro Nisaa’-i kepada usahawan tani wanita bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan nelayan misalnya tidak harus menganggap usaha kerajaan hanya terhad kepada elaun sara hidup semata-mata.

“Nelayan jangan hanya anggap itu saja usaha kita. Kita telah meningkatkan skim Agro Nisaa’-i menerusi Agrobank.

“Suami balik saja dari laut, isteri dan anak-anak tunggu dan letak atas meja. Pelanggan sudah tunggu, dua tiga jam mereka dapat menjual hasil tangkapan mereka,” ujarnya dalam Bicara Menteri menerusi Jom Channel baru-baru ini.

Mengulas tentang elaun sara hidup kepada seramai 40,000 nelayan di seluruh negara, beliau berkata, penyelewengan yang berlaku sebelum ini sungguh luar biasa.

Akibatnya, jelas beliau, kerajaan PH mengalami masalah kekurangan peruntukan sehingga memaksa untuk menurunkan elaun sara hidup kepada nelayan.

“Jadi, bayangkan perasaan saya ketika itu. Akhirnya dari RM150 (elaun sara hidup) kemudian jadi RM200.

“Saya memberikan janji saya, terima dulu RM200. Doakan ekonomi negara akan pulih. Dalam belanjawan akan datang, kita tambah lagi. Naik lagi RM50,” katanya melalui slot bertajuk, “Dasar Pertanian Baharu – Apa pencapaiannya?” itu.

Salahuddin turut berkata, jumlah elaun sara hidup kepada nelayan tidak mustahil akan dinaikkan pada masa akan datang melihatkan kestabilan ringgit, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM).

“Prasarana untuk mereka kita tingkatkan. Pasar nelayan daripada 132 buah, MOA beriltizam untuk tambah 20 lagi menjadi 200 pasar nelayan di seluruh negara.

“Lebih banyak pasar nelayan akan dapat dibina dan sudah pasti nelayan tidak ditindas oleh orang tengah,” katanya lagi sambil menyifatkan pihak nelayan dan pembeli masing-masing mendapat manfaat.