Malaysia Dateline

Pembinaan Baraj perlu kajian semula, kata Adun Senggarang

Dalam Belanjawan 2019 Johor, kerajaan telah menggariskan berkenaan dengan peruntukkan kepada pembinaan baraj (sistem pengawalan pasang surut sungai) di sekitar sungai di negeri ini.

Namun hal itu telah mendapat reaksi yang berlainan daripada Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang menyatakan perkara itu perlu dikaji semula.

Menurut beliau, pembinaan baraj seperti yang berlaku di Sungai Johor telah mendatangkan permasalahan lain kepada penduduk serta nelayan di kawasan berkenaan.

“Cadangan dalam belanjawan itu bagus namun hal ini perlu dikaji semula sebelum pihak kerajaan melakukan sebarang tindakan.

“Baraj yang akan dibina akan mengundang masalah lain sekiranya pemulihan terhadap hulu sungai tidak dijalankan. Sekiranya hulu itu keruh pastinya pembinaan baraj tersebut akan mengundang permasalahan air akan bertambah keruh tanpa aliran yang baik.

“Ini akan menjejaskan pendapatan nelayan sungai yang mendapatkan rezeki mereka di kawasan tersebut. Hasil laut pasti akan terjejas dengan kekeruhan air sungai itu,” tegasnya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau turut menyatakan perkara berkenaan selepas mendapati terdapat laporan yang diterima pihak beliau dari pihak nelayan sungai di sekitar Johor.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyarankan agar pihak kerajaan negeri memperincikan terlebih dahulu serta mendapat maklum balas dari pihak penduduk kampung serta nelayan sebelum menjalankan kerja-kerja pembinaan baraj berkenaan.

“Ukuran paras air juga perlu diambil berat serta perlu dipantau sekerap mungkin. Ia bagi mengelakkan berlakunya limpahan air sungai sehingga membanjiri tanaman penduduk kampung dan merosakkan tanaman tersebut.

“Rakyat menyambut baik atas cadangan ini namun perkara yang membimbangkan mereka perlu juga diambil berat oleh pihak kerajaan.

“Dialog serta pertemuan dengan penduduk kampung dan nelayan perlu diadakan bagi mendengar sendiri luahan mereka sebelum melakukan sebarang tindakan terhadap ekosistem sungai,” katanya lagi.