Pembinaan kasino di Forest City adalah fitnah tidak masuk akal, berniat jahat – Menteri Besar Johor

Oleh WAN SITI AMINAH

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan kononnya Forest City diberi kelulusan untuk pembangunan kasino adalah fitnah liar dan tidak benar.

Jelasnya, dakwaan itu disebar untuk mencetus persepsi jahat bagi menggagalkan pembangunan Forest City yang akan dibangunkan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ).

Tindakan itu juga seolah mengulangi persepsi negatif menggagalkan pembangunan projek terbabit yang pernah dilakukan pihak tertentu pada 2018, lapor Astro Awani.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dalam Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

“Ia tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk. Ini adalah fitnah yang tak masuk akal sama sekali melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor secara berterusan,” katanya memetik Astro Awani.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut memberi nasihat kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk berhenti menabur fitnah.

Menteri Besar Johor turut mengambil kesempatan itu untuk mengalu-alukan semua pihak menyokong usaha kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Forest City.

“Ini adalah masa terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City dengan sokongan padu kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia (projek Forest City) akan beri manfaat langsung dan tak langsung kepada Bangsa Johor dan Malaysia.” Ulasnya ketika menjawab soalan daripada ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Terdahulu, Liow dalam persidangan DUN tampil bertanya kesahihan laporan berita media antarabangsa mengenai kelulusan pembangunan pusat kasino di Forest City didakwa diberikan kerajaan negeri.

Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini melaporkan Perdana Menteri bertemu dengan dua hartawan terkemuka bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

Laporan itu memetik sumber mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.

Kemudian pada 25 April lalu, Anwar tampil menafikan bahawa pihak kerajaan bakal meluluskan pembangunan sebuah lagi kasino yang berlesen di Forest City, Johor.

Baca juga: Pencarum jangan seronok dulu, KWSP umum ada had keluarkan duit akaun 3