Malaysia Dateline

Pembinaan KXP untuk tarik pelabur ke koridor utara, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah adalah atas faktor untuk menarik pelabur ke koridor utara.

Beliau berkata, pada ketika ini, ramai pelabur telah datang ke Malaysia, namun kerajaan tetap ada polisinya yang tersendiri.

“Polisi kerajaan sekarang ini ialah, kita tidak mahu pelaburan hanya tertumpu di kawasan sekitar Lembah Klang, Selangor atau Johor sahaja.

“Kita juga mahu membawa lebih banyak pelaburan ke koridor utara dan juga negeri-negeri yang lain.

“Ini adalah sebahagian daripada kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azmin berpendapat pembinaan KXP tidak memberikan kesan kepada lapangan terbang antarabangsa di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Pembinaan KXP adalah sebahagian pelengkap kepada kemudahan lapangan terbang sedia ada di Pulau Pinang dan juga di Alor Setar, Kedah,” katanya.

Selain itu, Azmin berkata, pembinaan KXP juga adalah untuk menampung permintaan industri, selain melihat keperluan pembangunan di koridor utara untuk jangka panjang.

Katanya, kapisiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang atau dikenali Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTAPP) semakin meningkat.

“Ianya tidak dapat menampung jumlah penumpang yang semakin ramai, tetapi untuk membesarkan lapangan terbang berkenaan, ianya agak terhad kerana tidak ada lagi kawasan yang sesuai untuk pembesaran,” katanya.