Malaysia Dateline

Pembuat, penyebar berita palsu adalah penjenayah mulai hari ini

Elemen utama Akta Berita Palsu 2018 yang telah ditolak oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini akan dilaksanakan semula mulai hari ini dengan hukuman sehingga RM100,000 atau enam bulan penjara ke atas pesalahnya.

Sehubungan itu, Pusat Kebebasan Media (CIJ) melahirkan rasa sangat terkejut dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan pembuat dan penyebar ‘berita palsu’ sebagai penjenayah mulai hari ini, 12 Mac 2021.

Sehubungan itu, CIJ mendesak agar kerajaan tidak menggunakan perintah darurat untuk menyekat kritikan terhadap pentadbiran mereka.

Tanpa perlu semakan dari Parlimen, kerajaan memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu berkenaan Covid-19 dan perintah darurat yang dilaksanakan seluruh negara dengan denda yang berat dan penjara sehingga enam tahun.

Ordinan yang berkuatkuasa pada Jumaat (12 Mac) hari ini menetapkan langkah menerbitkan atau mengeluarkan semula apa jua kandungan yang sepenuhnya atau sebahagiannya palsu berkenaan pandemik atau perintah darurat ini dianggap satu kesalahan.

Bidang kuasa ordinan ini akan diperluas buat mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkenaan cara Malaysia menangani pandemik ini di luar Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan, menurut perintah yang disiarkan dalam warta persekutuan kerajaan.

Mereka yang didapati bersalah akan didenda hingga RM100,000 ($32,636), penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Apa yang mengejutkan adalah kerajaan sekarang mengambil kesempatan untuk memperkenalkan semula unsur-unsur Akta Anti Berita Palsu 2018 yang telah ditolak oleh kerajaan Pakatan Harapan,” kata Ms. Wathshlah G. Naidu, CIJ Executive Director (gambar).

Bagi CIJ, “berita palsu” yang tidak didefinisikan dengan jelas oleh undang-undang, boleh membuka kemungkinan penyalahgunaan melalui penangkapan, penyiasatan dan tindakan hukuman sewenang-wenang yang diambil terhadap pihak yang didakwa.

“Penggunaan peraturan ini secara sewenang-wenang akan bertentangan dengan norma-norma asas kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan piawaian antarabangsa,” katanya.

Oleh itu, mereka menuntut, pemerintah menarik balik segera Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No. 2) 2021 ini.