Malaysia Dateline

Pembubaran DUN Sarawak dalam masa terdekat

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal diumumkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dilaksanakan.

Justeru, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi bayangan bahawa pengumuman pembubaran DUN kemungkinan dalam masa beberapa hari lagi.

“Sama seperti pihak media, wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut merasa bahang kemungkinan pengumuman bubar DUN dalam masa terdekat.

“Mungkin esok lusa atau sehari dua ini kita akan mendengar mengenai pembubaran,” ujarnya.

Abdul Karim berkata, beliau sangat mengalu-alukan pembubaran DUN kerana sudah tiba masanya rakyat di negeri ini diberi mandat untuk memilih pemimpin dan kerajaan.

“Sekarang ia mungkin bukan isu wabak Covid-19 kerana yang pasti akan ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat disediakan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Tambahan kini kes di Sarawak kebanyakan atau lebih 90 peratus adalah kategori satu dan dua.

“Bagaimanapun kepada ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekiranya DUN diumumkan bubar maka sudah tiba masa untuk kita ‘berperang’ dan menjalankan tanggungjawab bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan baik,” tegasnya lagi.