Pembubaran sementara Bersatu tidak sah, RoS salah guna kuasa, kata Mahathir

Pembubaran sementara Bersatu tidak sah, RoS salah guna kuasa, kata Mahathir

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) didakwa telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar undang-undang terhadap notis yang dikeluarkan jabatan itu untuk membubarkan sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam tempoh 30 hari yang berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, disebabkan RoS tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 maka perintah pembubaran parti itu dianggap tidak sah laku.

“Notis atau perintah RoS ini tidak dihantar pada tarikh dan alamat yang tepat kepada penerima iaitu kepada Setiausaha Parti.

“Kita dapati notis atau perintah itu tidak diterima kerana alamat rasmi parti di Damansara yang ditulis didalam notis tersebut.

“Pada masa yang sama salinan notis atau perintah itu juga tidak diberikan kepada empat pemegang jawatan yang dinyatakan,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat Bersatu di Petaling Jaya malam ini.

Sidang media tergempar yang diadakan jam 11 malam ini susulan notis yang dikeluarkan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim dalam sidang media petang tadi berkata, Bersatu gagal menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan olehnya di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Dr Mahathir lagi sidang media yang diadakan RoS petang tadi itu juga mendukacitakan kerana parti tidak menerima notis tersebut dan notis berkenaan sudahpun tersebar di media sosial.

“Notis Ros ini juga melucukan  kita pun tak faham kerana Ros kata: ‘Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan nama yang tersebut di atas dibubarkan.

“Notis adalah “sementara” sepatutnya “dibubarkan sementara” tetapi notis “sementara” – ini bermaksud parti ini tidak dibatalkan (dibubarkan) pendaftarannya.

“Ini mengelirukan kepada kami sama ada bubar atau batal. Kita anggap kita masih lagi berfungi dalam tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri.Sepengetahuan kami parti masih lagi tertubuh.

“Kita masih lagi berfungsi sebagai parti sehingga RoS batalkan parti kita .

“Ahli akar umbi di cawangan dan bahagian masih boleh berfungsi kerana kita bukan “sementara dibubarkan” kerana ia bukan pembatalan parti,” ujarnya lagi sepatutnya disedari oleh RoS tentang perbezaan perintah sementara, pembubaran dan pembatalan pendaftaran.

Justeru katanya lagi,  oleh kerana RoS sendiri  tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 maka ‘perintah sementara pembubaran’ itu belum lagi disampaikan dengan sah dan sempurna kepada parti sehingga kini Bersatu menyifatkan notis atau perintah  tersebut sebagai tidak sah laku.

Sebahagian penyokong dan ahli Bersatuyang menunjukkan solidariti terhadap tindakan RoS membubarkan sementara Bersatu berkuatkuasa hari ini.

Baca: Bubar parti: Tidak jejaskan calon pilihan raya, Bersatu akan saman RoS

9.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 9.5
CATEGORIES
TAGS