Malaysia Dateline

Pembukaan penuh sekolah 15 Julai secara berperingkat

Pembukaan semula sekolah sepenuhnya kepada pelajar bukan peperiksaan awam dijalankan secara berperingkat bermula 15 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, operasi sekolah bagi pelajar tingkatan 1 hingga 4 dan pelajar tahun 5 hingga 6 akan bermula pada 15 Julai ini.

Manakala, pelajar tahun 1 hingga 4 pula akan mula bersekolah pada hari Rabu, 22 Julai.

“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya di sidang media hari ini.

Beliau berkata, setiap sekolah mempunyai kapasiti berbeza bagi menampung jumlah murid dalam situasi penting iaitu menjaga penjarakkan sosial.

Oleh itu, katanya, operasi sekolah perlu membuat pendekatan berbeza bersesuaian dengan situasi sekolah iaitu menggunakan tiga model.

Tiga model berkenaan adalah sekolah satu sesi iaitu bilik darjah yang cukup setelah mengambil kira jarak sosial.

Model kedua iaitu sekolah yang sedia ada dua sesi dan ketiga membuat penggiliran bagi sekolah yang tidak tidak cukup ruang bagi melaksankan model dua sesi.