Pembunuh Sosilawati kekal ke tali gantung, anak jutawan kosmetik panjat kesyukuran

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati memanjatkan kesyukuran sebaik hukuman gantung sampai mati ke atas pesalah yang membunuh ibunya iaitu Datuk Sosilawati Lawiya pada 14 tahun lalu dikekalkan.

Mahkamah Persekutuan pada hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas peguam dan seorang lagi pekerja ladang kerana membunuh Datuk Sosilawati yang merupakan jutawan kosmetik itu bersama tiga pembantunya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu sebulat suara memutuskan sedemikian selepas pemohon iaitu N Pathmanabhan, 54, dan T Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung.

Sementara itu, seorang lagi pekerja ladang, R Kathavarayan, 44, yang turut dihukum gantung menarik balik permohonan semakan hukuman mati sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Menyambut baik keputusan tersebut, Rita Sosilawati atau nama sebenarnya, Erni Dekritawati Yuliana melahirkan rasa kesyukurannya itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform Instagram sebentar tadi.

“ALLAHUAKHBAR..Allahuakhbar..Allahuakhbar. Alhamdulillah. Baru dapat keputusan tadi bahawa hukuman mati dikekalkan,” tulis Rita di ruangan kapsyen hantarannya itu.

Terdahulu, Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais memaklumkan bahawa permohonan pesalah dalam kes ibunya itu ditolak dan hukuman gantung juga dikekalkan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi manakala semua pemohon diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay H’ng Foong dan Manjeet Singh Dhillon.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati kepada kesemua perayu selepas mereka didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Baca juga: Trauma nak bagi orang pinjam duit, usahawan dedah ditipu rakan niaga, rugi ratusan ribu ringgit