Pembunuhan Jong Nam: PH persoal keselamatan pintu masuk negara

Pembunuhan Jong Nam: PH persoal keselamatan pintu masuk negara

Pakatan Harapan menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung kelemahan tahap keselamatan pintu masuk negara ini.

Pakatan Harapan menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi penjelasan berhubung kelemahan tahap keselamatan pintu masuk negara ini.

Ia rentetan kejadian pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin lepas.

Dalam satu kenyataan bersama, Pakatan Harapan turut mempersoal bagaimana Kim Jong-Nam memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport palsu bernama Kim Chol.

“Adakah kedua-dua suspek juga memasuki negara ini dengan menggunakan passport palsu di mana salah seorang daripada mereka menggunakan nama Doan Thi Huong?

“Jika ya, mengapakah pihak imigresen tidak dapat mengesan perbuatan tersebut? Sehingga kini, berapakah pendatang asing yang berjaya menggunakan pasport palsu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa?” soal kenyataan atas nama Datuk Raja Kamarul Bahrin (Amanah), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (OKR) dan Teresa Kok (DAP).

Menurut kenyataan itu, pihak keselamatan yang memerlukan masa sehingga tiga hari untuk mengenal pasti identiti mayat Kim Jong-Nam menyebabkan rakyat tidak yakin mengenai keberkesanan sistem pengimbasan identiti di lapangan terbang di Malaysia.

“Pakatan Harapan difahamkan juga bahawa ketika kejadian MH370 pada tahun 2014, dua warga Iran berjaya menaiki pesawat dengan menggunakan pasport yang dicuri tanpa dikesan oleh pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Pihak keselamatan lapangan terbang juga dipersoal kerana tidak bertindak dengan segera untuk menahan kedua-dua suspek sejurus melakukan jenayah tersebut, malahan suspek dikatakan mempunyai masa untuk menunggu teksi.

“Pakatan Harapan dimaklumkan bahawa penahanan suspek mengambil masa kira-kira 36 jam hanya selepas media Korea Selatan mendedahkan secara umum.

“Sebahagian rakyat Malaysia masih mengingati ketika insiden MH370 pada tahun 2014, pihak kawalan trafik udara mengambil masa 17 minit untuk menyedari bahawa penerbangan MH370 telah hilang daripada radar dan empat jam selepas itu untuk melancarkan operasi menyelamat.

“Kejadian seumpama ini telah membangkitkan persoalan daripada orang awam mengenai keupayaan pihak keselamatan kita untuk bertindak segera sekiranya berlaku ancaman terhadap negara seperti serangan pengganas di lapangan terbang,” kata kenyataan lagi.

Pakatan Harapan juga ingin tahu sama ada Kerajaan Umno-BN telah membuat klarifikasi atau tidak dengan Kerajaan Korea Utara terhadap insiden yang berlaku, sebelum menghantar pulang jasad Kim Jong-Nam ke negara asal.

“Kejadian pembunuhan ini memburukkan lagi imej Malaysia di mata dunia apabila media-media antarabangsa mendedahkan pelbagai isu hangat yang telah menjejaskan reputasi negara ini.

“Sekiranya pihak Korea Utara disahkan terlibat dalam insiden ini, adakah Zahid Hamidi akan meminta Kerajaan Korea Utara menjelaskan penglibatan mereka dan memohon maaf kepada Malaysia kerana melibatkan negara kita ke dalam konflik dalaman negara tersebut?” soal kenyataan itu.

TAGS