Pembunuhan Sulaimani kemenangan pihak Sunni?

Jika pembunuhan  seorang Komander tentera Iran,Jeneral Qassem Sulaimani menerima kutukan dan kritikan pemimpin antarabangsa tetapi di negara ini terdapat beberapa pengecualian.

Bagi sesetengah pihak di negara ini mereka beranggapan Jeneral Sulaimani adalah sang Syaitan yang dianggap Syahid. Bahkan segelintir daripada kumpulan ahli sunnah wal jamaah ini berdoa moga Allah swt mengamankan dunia dengan kematiannya.

Kalangan mereka berangapan bahawa  beliau telah melakukan jenayah membunuh umat Islam sunni dengan membekalkan tentera bantuan (upahan) kepada rejim Assad semasa awal kebangkitan rakyat Syria pada tahun 2011. Jeneral Sulaimani bagi mereka adalah antara penggerak utama kepada rejim Assad dengan taktik kekerasan.

Bagi segelintir mereka berpandangan cara tersebut digunakan dalam rangka usaha melumpuhkan kebangkitan rakyat Syria yang sunni demi mempertahankan ideologi syiah dalam kalangan pimpinan Syria.

Dia juga bertanggungjawab membekalkan rejim Assad dengan senjata dari Iran, memberikan bantuan pasukan ketenteraan di medan dan juga secara logistik serta dana kewangan dari Iran pada tahun 2012.

Kalangan mereka juga berpendapat bahawa dia turut membantu rejim Iraq dengan secara langsung membawa campur tangan Pasukan Pengawal Revolusi Tentera Iran (IRGC), Hezbollah dan militia Syiah  ke dalam politik Iraq dan Syria.

Kumpulan-kumpulan ini dikatakan telah memburu puak sunni, menahan, mendera dan membunuh tanpa sebab yang akhirnya membangkitkan gerakan mujahidin sunnah di sekitar wilayah sunnah seperti di al-Anbar dan selainnya untuk menentang.

Beliau telah menggempur pejuang Syria di beberapa tempat seperti Latakia, Homs dan Aleppo. Malah kota Aleppo dan beberapa buah kota Sunni yang lain hampir lenyap sama sekali akibat pengeboman yang dilakukannya. Ratusan ribu masyarakat Sunni sama ada menjadi korban, gelandangan atau pelarian atas nama kempen memerangi pengganas yang dilaksanakan.

Mereka juga mendakwa bahawa lebih 70 ribu militia dari Iran, Iraq, Afghanistan, Tajikistan, Lubnan dan Pakistan yang dibawa masuk untuk menjadikan masyarakat Sunni sebagai sasaran dalam proses memadamkan revolusi rakyat Syria. Namun bagi kumpulan ini  apa yang berlaku adalah persengitan dalam merebut kuasa politik atas kepentingan kelompok tertentu atas kemaslahatan politik Iran di rantau tersebut.

Sepanjang 2012-2013 dia telah merancang beberapa plot serangan kepada individu sejauh Thailand, India, Nigeria dan Kenya yang melebih 30 percubaan bunuh.

Di samping itu, bagi kalangan mereka Jeneral Sulaimani memainkan peranan penting dalam membantu kelompok teroris Syiah di seluruh dunia dan antara penggerak dalam usaha membunuh beberapa orang tokoh diplomatik seperti duta dan menteri luar Saudi yang berjaya digagalkan sekitar tahun 2011.

Selain itu, dia juga antara orang yang sedia membekalkan senjata kepada gerakan Syiah di luar negara seperti gerakan Syiah Houthi di Yaman, Bahrain, Kuwait dan selainnya.

Jenayahnya adalah dengan membawa 100 ribu tentera sukarelawan syiah yang diupah menurut sumber Amerika, semata-mata untuk ‘memadamkan’ pemberontakan sunni di Iraq dan Syria yang mengorbankan ratusan ribu nyawa muslim yang tidak berdosa.

Selain itu dia juga ditugaskan membersihkan tokoh yang memberi ancaman kepada negara Iran di dalam atau pun di luar negara.

Terpegun seketika apabila membaca mesej Whatsapp yang saya terima, cumanya saya ingin bertanya secara retorik adakah dengan pembunuhan beliau bermakna kumpulan pelampau ini menyokong tindakan yang dilakukan Presiden AS, Donald Trump dengan bantuan agensi perisikan Israel iaitu Mossad.

Ini juga bermakna menyokong tindakan Trump yang membuka ruang kepada konflik dan perang terbuka yang sesetengahnya meramalkan akan menjurus kepada Perang Dunia Ketiga!

Apa yang lebih menarik selepas demontrasi di Zon Hijau, di lokasi bangunan kedutaan AS di Iraq, Trump dalam ciapan di Twitter telah memberikan bahwa mereka akan membayar harga yang tinggi di atas perbuatan tersebut dan beliau menyebut ia adalah ugutan!

Dan ugutannya itu memang beliau sendiri sedang menantikan masanya, dengan serangan roket AGM-114 Hellfire missile (senjata supersonic senjata anti-kereta kebal yang digunakan secara meluas oleh tentera ASm diubah suai diletakkan kepada dron)  dari dron MQ-9 Reaper.

Selepas itu paling “hebat” untuk disaksikan, Trump dengan bangganya meninggi diri berkata bahawa beliaulah yang mengarahkan serangan roket membunuh Jeneral Sulaimani.

Apakah dengan tindaka ini, Trump mengharapkan tepukan rakyatnya? Atau adakah ini yang dikehendaki Trump, sokongan dan undi rakyatnya untuk dilantik semula sebagai Presiden AS untuk penggal kedua. Untuk dilantik, seseorang presiden harus melakukan suatu kegemparan, tidak mengapa tidak mengapa jika membunuh jutaan manusia atau mencetuskan perang sekalipun. Bukankah itu juga yang dilakukan Barrack Obama. Obama menjadi Presiden AS dengan dua perang yang sedang berlangsung – Afganistan dan Iraq- dan apabila beliau meninggalkan tampuk pemerintahan, AS terlibat dalam tujuh  peperangan di serata dunia iaitu masih di Afganistan dan  Iraq (yang tidak berkesudahan), Libya, Syria, Sudan, Somalia, Pakistan.

Ini tidak termasuk konflik proksi, yang didukungi oleh ISIS / DAESH, Nusrat, Islamic State (IS), bahkan ada masanya melibat kumpulan Al-Qaeda juga.  Dan jangan lupa AS juga terlibat dalam rancangan rampasan kuasa di Amerika Tengah seperti di Venezuela, kedudukan NATO yang mengancam Rusia dan China dan tentera AS di Laut China Selatan.

Apa yang saya perhatikan kebanyakan Presiden AS ini dilantik atas dasar keganasa dan pembunuhan. Adakah mereka memenuhi kepentingan industri perang AS, di mana AS sentiasa berada dalam konteks ekonomi perang (war economi) di mana pertumbuhan ekonomi AS adalah dengan mengancam dunia dengan peperangan dan pencetus peperangan supaya ekonominya terus tumbuh dan hidup. Seperkara lagi Presiden AS tidak lari bebas daripada pengaruh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel Amerika  atau AIPAC (American Israel Public Affairs Committee).

Dengan lain perkataan  rakyat Amerika yang mengundi seolah-olah diperdayakan untuk mempercayai bahawa mereka akan mengundi seorang presiden tetapi hakikatnya presiden yang dicalonkan itu telah dipilih oleh sekumpulan kecil oligarki yang mewakili kepentingan -kepentingan industri perang, kewangan, minyak, Farmakeutikal ada akhirnya siapa lagi Israel.

Adakah segelintir mereka di Malaysia bertepuk tangan dan gembira di atas pembunuhan Jeneral Sulaimani dengan menyokong Trump dan sekutu Zionisnya? Adakah negara anti Iran menyokong pembuhan Jeneral Sulaimani tidak peduli sama ada ia adalaj plot Yahudi asalkan yang penting beliau mati. Mereka tidak memikirkan mengenai ancaman dan konflik yang akan tercetus daripada ketenganga ini. Kita tidak seharus menyempitkan skop untuk melihat isu ini sebagai kemenangan Sunni ke atas Syiah atau membiarkan AS dan Zionis menjarah Iraq dan dunia Islam.

Berita terkini yang diperolehi semasa artikel ini ditulis ialah Majlis Penasihat Keselamatan Luar Negara (Osac) di Washington telah mengeluarkan amaran keselamatan di Kuala Lumpur dengan menasihati supaya jangan menonjol diri dan memastikan segala dokuman perjalanan mereka sentiasa dikemas kinikan dan mudah dibuat capaian.

Adakah nasihat Osac dikeluarkan selepas Iran mengibarkan ‘bendera merah’ sebagai simbolik membalas dendam selepas Amerika Syarikat membunuh Komander kanan Iran, Qasem Soleimani dalam serangan udara di Baghdad.

Stesen televisyen Iran mula menyiarkan bendera yang dikibarkan di atas kubah Masjid Jamkaran. DailyMail melaporkan, bendera itu sebagai tanda pertumpahan darah dan menuntut keadilan untuk membalas dendam atas pembunuhan itu.

Adakah ini bermakna Iran secara simboliknya telah mengisytiharkan perang ke atas AS?

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran