Malaysia Dateline

Pemecatan Adun Permas dari Kejora panaskan politik Johor

Adun Permas dari Bersatu, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh hari ini dilayan seperti pembangkang selepas dipecat sebagai ahli lembaga pengarah (ALP) Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Ia telah menyebabkan pergolakan politik di Johor semakin panas walaupun kerajaannya yang diketuai Umno hanya bermajoriti dua kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri Johor, iaitu 29 Perikatan Nasional (PN) dan 27 Pakatan Harapan (PH).

Mengulas perkara itu, mantan ALP Yayasan Pasir Gudang (YPG), Syed Othman Abdullah (gambar) berkata layanan terhadap Che Zakaria adalah suatu perkara yang tidak patut kerana beliau juga sebagai Adun dari kerajaan PN hari ini.

Katanya, layanan yang diberikan oleh PN terhadap Adun Permas itu telah membuktikan bahawa Umno hari ini telah memulaukan atau meminggirkan peranan Adun-Adun dari Bersatu di negeri ini.

“Sepatutnya beliau (Che Zakaria) tidak dipecat kerana sekiranya dihitung beliau adalah salah seorang Adun kerajaan yang ada di parlimen Pasir Gudang. Mengapa beliau perlu dipecat?

“Lantikan politik seperti ini seharusnya meraikan Adun yang bersama menubuhkan kerajaan dan sekiranya Umno meminggirkan beliau. Ini bermakna Umno sememangnya tidak mengiktiraf usaha Bersatu untuk bersama dalam komponen BN.

“Ia gambaran jelas apabila Naib Presiden Umno yang tewas di parlimen Pasir Gudang (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) pula yang dicanang untuk menggantikan tempat tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyatakan sokongan agar Adun Permas itu tidak dipinggirkan kerana usaha beliau untuk bersama-sama dalam kerajaan perlu diiktiraf.

Tambahnya, Che Zakaria lebih diraikan sewaktu bersama-sama PH sewaktu menjadi kerajaan dan usaha PH mengiktiraf beliau adalah kerana kemenangannya di Dun di bawah jajahan YPG.

“Kenapa Adun yang menang dipecat tetapi yang kalah diangkat. Inilah diskriminasi yang dangkal dan bukannya beliau pembangkang, layanan sebegitu adalah salah.

“Sewaktu di dalam PH, mereka memberikan ruang kepada calon yang menang di kawasan tersebut untuk mengendalikan sebuah yayasan kerana di situ ada peruntukkan untuk disalurkan kepada rakyat di kawasan mereka.

“Jadi sudah bertepatan PH melakukan perkara sedemikian kerana beliau menang termasuk Adun Johor Jaya (Liow Chai Tung) yang turut memegang jawatan yang sama sebelum ini.

“Ini jelas memperlihatkan bahawa Umno sememangnya mahu mengamalkan sifat kroni dengan meminggirkan kawan mereka yang lainnya,” katanya lagi.