Pemecatan saya canggah keputusan parti, kata Hafidz

Bekas ketua AMK Kelantan Dr Mohd Hafidz Rizal Amran yang dipecat semalam menyifatkan tindakan itu tidak selari dengan hasrat dan keputusan parti.

Pemecatan saya canggah keputusan parti, kata Hafidz

“Saya berpandangan keputusan Nik Nazmi memecat saya daripada jawatan Ketua AMK Kelantan adalah tidak selari dengan hasrat dan keputusan parti.

“Ini juga bercanggah dengan arahan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta parti meneruskan rundingan dengan Pas,” katanya.

Beliau juga berpendapat perkara ini sangat bertentangan dengan semangat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang tegas mempertahankan kerjasama dengan Pas dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Sedangkan Nik Nazmi sendiri merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Menurut Mohd Hafidz, beliau akan segera bertemu dengan Ketua-Ketua AMK Cabang di seluruh Negeri Kelantan untuk merangka langkah seterusnya termasuk memperkukuhkan jentera parti menjelang PRU14.

“Saya akan terus berjuang untuk meletakkan PKR di persada politik nasional tanpa jemu seperti mana dilaksanakan oleh Datuk Seri Ketua Umum, Datuk Seri Presiden (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan YAB Datuk Seri Timbalan Presiden (Azmin Ali) serta terus komited memperkukuh PKR di Negeri Kelantan di bawah Pimpinan Pengerusi Tuan Haji Ab. Aziz bin Kadir,” katanya.

{loadposition myposition}

Tidak ikut peraturan

Beliau turut membangkitkan kaedah pemecatannya yang diangap dilakukan tanpa mengikut peraturan biasa.

“Saya menerima arahan pemecatan saya daripada jawatan Ketua AMK Kelantan menerusi pesanan aplikasi whatsapp YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK Pusat sebelum disusuli dengan surat rasmi yang juga dihantar melalui pesanan whatsapp.

“Saya percaya, keputusan ini dibuat oleh YB Nik Nazmi secara unilateral tanpa melalui perbincangan yang sewajarnya.

“Pertama keputusan ini dibuat tanpa melalui mesyuarat Biro Politik AMK mahupun Mesyuarat MPP AMK Pusat yang telah tidak bersidang sejak bulan Mac 2017.

“Kedua ia tidak melalui proses konsultasi dengan Pengerusi MPN Kelantan sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Tetap AMK,” katanya.

Beliau beranggapan, keputusan ini dibuat berdasarkan satu memorandum yang dibuat oleh beberapa kerat pimpinan AMK Kelantan yang tidak sah kerana tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang.

“Berdasarkan keputusan AMK Pusat sebelum ini, saya telah melantik penaja-penaja baru bagi mengganti Ketua-Ketua AMK Cabang terbabit.

“Antara kandungan memorandum tersebut adalah mempertikaikan pendirian AMK Kelantan di bawah kepimpinan saya yang meneruskan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Pas,” katanya.

Beliau bertegas bahawa pendirian AMK Kelantan adalah berdasarkan pendirian parti yang dipersetujui dalam Mesyuarat Biro Politik pada 15 Ogos 2017.

“Juga amanat lansung daripada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama saya pada 12 Julai 2017 di Mahkamah,” katanya.