Malaysia Dateline

Pemegang Pas Lawatan Sosial tamat tempoh diminta tinggalkan Sarawak

Semua warganegara asing serta dari Semenanjung dan Sabah yang menggunakan Pas Lawatan Sosial dan tinggal lebih masa mulai 1 Januari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan untuk meninggalkan Sarawak tanpa perlu pergi ke Pejabat Imigresen bagi tujuan pelanjutan pas.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Datu Ken Leben memberitahu, sekiranya pemegang pas tersebut mahu tinggal sementara di negeri ini atas sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka diminta untuk memohon lanjutan pas.

Bagaimanapun kata beliau, situasi ini hanya terpakai kepada mereka yang menggunakan Pas Lawatan Sosial (Pelancong) dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Februari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh PKPB.

“Lanjutan pas bagi pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang telah tinggal lebih masa di Sarawak iaitu mulai 1 Februari 2020 sehingga arahan PKPB ditamatkan pula boleh dibuat di Pejabat Imigresen setelah mendapat tarikh temu janji yang dibuat secara dalam talian.

“Semua temu janji untuk perkhidmatan kaunter Imigresen di Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Ekspatariat dan Bahagian Pekerja Asing adalah wajib menggunakan Sistem Temu Janji Online (STO) di pautan www.sto.imi.gov.my boleh diakses mulai 8 Mei,” jelas beliau di Kuching hari ini.

Ken menegaskan, urusan di Bahagian Keselamatan dan Pasport tidak memerlukan temu janji dan orang awam boleh datang terus ke kaunter Imigresen tertakluk kepada Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia No.5/2020.

“Hanya pelanggan yang mempunyai temu janji sahaja dibenarkan hadir berurusan manakala permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) tidak memerlukan sebarang temu janji,” ujarnya lagi.