Malaysia Dateline

Pemenjaraan Najib harus jadi pengajaran kepada semua pemimpin politik

Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak selepas keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun ke atas beliau harus menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya membentuk kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sudah pasti Najib akan kekal sebagai Perdana Menteri (PM) sehingga ke hari ini dan bukannya merengkuk di Penjara Kajang. 

“Beberapa hari yang lalu Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut bertitah bahawa amalan rasuah di negara ini telah sampai ke tahap yang membahayakan dan menjadi penyakit barah dalam masyarakat sehingga membantutkan pertumbuhan ekonomi dan membawa pelbagai kesan yang amat buruk kepada kehidupan rakyat. 

“DAP bersama rakan-rakan dalam PH mesti menyahut titah Baginda Sultan Perak dengan menjadikan perang terhadap rasuah sebagai misi dan agenda utama perjuangan untuk memenangi PRU ke-15 dan menerajui pemerintahan negara. 

Perang terhadap rasuah dan membudayakan integriti dikalangan rakyat Malaysia mesti menjadi nadi pentadbiran PH dan rasuah harus ditentang tanpa mengambilkira latar belakang kaum maupun agama, ” ujar beliau ketika berucap pada Kongres Khas DAP hari ini. 

Tambah beliau, perasuah tetap dibenci samada ia bernama Najib atau Jho Low dan yang menerima atau yang memberi rasuah kedua-duanya adalah salah, apa lagi jika ianya adalah ‘mastermind’.