Pemenjaraan Tian Chua beri mesej kepada rakyat sistem demokrasi, politik ‘sakit’

Pemenjaraan Tian Chua beri mesej kepada rakyat sistem demokrasi, politik ‘sakit’

(BAHAGIAN 1)

Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang memilih untuk ke penjara pada 29 September lalu telah menimbulkan persoalan kepada tujuan sebenar beliau berbuat demikian.

Ada pihak beranggapan beliau hanya lakukan gimik politik untuk menarik perhatian rakyat terhadap pemenjaraannya kepada isu kebebasan dan hak bersuara rakyat.

Tian Chua,52, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, menjelaskan, dengan pemenjaraan itu sebenarnya, memberikan mesej kepada rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini dakwanya, tidak lagi memihak kepada rakyat yang menuntut keadilan.

“Saya mahu sampaikan dua mesej sahaja apabila saya tarik semula rayuan dan memilih untuk masuk penjara, bukannya gimik.

“Dalam sistem demokrasi yang mana pihak yang berkuasa tidak menghormati hak asasi dan menindas rakyat, tiada siapa yang selamat apabila memilih untuk menegakkan hak dan keadilan kita akan hadapi risiko dipenjarakan.

“Jangan kita rasa takut kita akan kalah jika masuk penjara.

“Saya terpaksa buat pilhan, Saya memilih nasib saya sendiri daripada diserah pada hakim buat keputusan mungkin mereka akan tambah lebih hukuman, kekal hukuman, kurang hukuman atau mereka boleh lepaskan saya.

“Sebagai seorang yang insaf dan ada kesedaran politik tidak perlu serah nasib kepada keputusan hakim. Saya boleh buat keputusan sendiri tanpa sebarang ketakutan.

“Mesej keduanya apabila saya dipenjarakan ia bukan tindakan seorang ‘hero’ (adiwira).Saya tidak ingin orang menganggap ia tindakan berani tian chua..tian chua seorang hero… bukan.

“Ini hanya menunjukkan sistem pentadbiran negara telah melupuskan semangat perlembagaan dan demokrasi, apabila sistem politik negara kita ‘sakit’ sehingga orang tidak berdosa terpaksa masuk penjara atas keinsafan mereka ingin bersuara dan bebas mengkrtik sebarang kepincangan dan penyelewengan dilakukan pihak berkuasa,” ujarnya dalam temubual dengan Malaysia Dateline.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan DSP A. Rajagopal agar meninggalkan kawasan Pulapol di Jalan Semarak pada 2.30 petang, 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Mahkamah menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000.

Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, dengan pemenjaraannya itu beliau adalah ahli parlimen pertama di negara ini yang dipenjarakan.

Beliau berpandangan Malaysia tidak berada di landasan yang betul, dalam sebuah negara demokrasi apabila menghukum seorang ahli parlimen kerana mengkritik dan menghadiri perhimpunan aman.

Tindakan mahkamah terhadapnya tidak ubah seperti sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan ketenteraan yang kerap memenjarakan ahli parlimen dan pemimpin politik.

“Sebagai seorang ahli parlimen saya tiada imuniti untuk mengkritik dan menyertai perhimpunan aman akhirnya saya dipenjarakan.

“Kita harus membebaskan diri daripada sistem yang menzalimi hak kita,” ujarnya yang menjalani hukuman selama 30 hari di Penjara Kajang dan dibebaskan pada 27 Oktober lalu.

30 hari banding 1000 hari Anwar

Beliau kemudiannya diberikan penghormatan untuk mengetuai Himpunan Solidariti 1000 Hari Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini masih dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.

Himpunan 1000 Hari Anwar Dipenjara itu diadakan pada 6 November lalu membabitkan ahli parlimen pembangkang dan lebih kurang 200 penyokong Anwar yang berarak dari pintu hadapan bangunan Parlimen ke Dataran Merdeka.

Bagaimana perasaannya dipenjara selama 30 hari berbanding Anwar 1,000 hari, beliau merasakan dirinya begitu kerdil untuk dinilai dari segi pengorbanan yang dilakukan Anwar dalam perjuangan politik di negara ini.

“Saya rasa 30 hari sudah cukup menderita inikan pula 1000 hari ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.

“Inilah yang saya dapat rasakan ramai rakyat menghormati beliau kerana mempertahankan prinsipnya hingga sanggup dipenjarakan demi perjuangan untuk rakyat.

“Saya tidak boleh dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar dan keluarganya, saya hanya lakukan pengorbanan kecil dalam perjuangan rakyat ini.

“Saya mengingati berulang kali beliau pernah menegaskan apa yang diperjuangkannya semata-mata berkaitan dengan agenda rakyat untuk membebaskan mereka daripada penindasan.

“Datuk Seri Anwar masih diingati walaupun solidariti 1000 hari itu tidak mengumpulkan kehadiran penyokong yang ramai, ia tidak boleh dijadikan ukuran sokongan terhadapnya kian berkurang.

“Ini kerana penyokong tidak semestinya datang berarak bersama pemimpin tetapi secara umumnya semakin ramai memahami erti perjuangan beliau selepas dipecat dari kabinetnya.

“Malah sebahagian besar yang menyertai gerakan reformasi ketika itu, dikalangan ahli Umno yang tidak boleh terima apa yang dilakukan kepimpinan kerajaan ketika itu kepada beliau.

“Tetapi kita lihat makin lama pengaruhnya bertambah walaupun yang keluar untuk berarak atau berdemontrasi tidak ramai, tidak bermaksud pengaruh dan simpati terhadap Datuk Seri Anwar berkurangan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi selama 10 tahun Anwar dipenjarakan dengan adanya gerakan-gerakan rakyat secara berterusan ia telah membawa kepada satu situasi yang mana anggota keselamatan tidak lagi menganggap penyokong reformasi atau peserta demontrasi sebagai pengugat keamanan negara.

“Dulu anggota keselamatan akan menganggap kami adalah pengacau kerana menyokong Datuk Seri Anwar seorang yang ingin mengancam keselamatan negara dan buat huru-hara dengan gerakan reformasinya.

“Kini anggota polis semakin memahami adanya himpunan aman ini satu ekspresi rakyat tentang keadilan dan kebebasan bersuara.

“Saya bersyukur ramai dikalangan anggota polis memahami tujuan kita.Anggota polis hanya menjalankan tugas supaya ekspresi rakyat yang menuntut keadilan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan polis menghalang demontrasi atau himpunan rakyat yang diadakan dalam skala besar atau kecil yang diadakan,” ujarnya.

Tian Chua antara penggerak reformasi yang kerap keluar dan masuk lokap polis bersama beberapa lagi pejuang reformasi yang terdiri daripada aktivis masyarakat dan pemimpin politik parti pembangkang.

(Bersambung Bahagian 2 esok)
.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS