Malaysia Dateline

Pemergian penulis prolifik Ahmad Lutfi Othman satu kehilangan besar buat negara

Pemergian penulis prolifik Ahmad Lutfi Othman adalah satu kehilangan besar kepada negara di mana beliau merupakan penulis yang merakam zaman khususnya saat media sosial masih belum menjengulkan muka.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Hasbie Muda berkata tulisannya sentiasa ditunggu-tunggu waktu itu baik dalam bentuk buku, majalah, tabloid mahupun kolum di akhbar.

Dengan gaya penulisan yang bersahaja, setiap pergolakan politik tanahair dapat diikuti dengan baik dan telus oleh rakyat di seluruh negara saat media perdana sentiasa melaporkan secara berat sebelah.

“Perjuangan panjang Ahmad Lutfi dalam bidang penulisan dan kewartawanan adalah suatu yang hebat dan bertaraf lagenda.

“Beliau terus menulis walaupun uzur sejak beberapa tahun lepas.

“Legasinya luar biasa,” katanya.

Hasbie juga berkata suatu ketika dulu, pencak politik seakan tawar tanpa ulasan Lutfi namun pagi ini, beliau mengakhiri usianya di pada hari lahirnya yang ke-59.

Pemergian penulis prolifik Ahmad Lutfi Othman satu kehilangan besar buat negara
Ahmad Lufi semangat kental dengan kerja-kerja kebajikan dan sentiasa berusaha untuk meneruskannya walaupun kurang sihat 

“Semoga Allah merahmatinya, mengampuninya dan mengasihinya.

“Tempatkanlah beliau dalam kalangan orang yang soleh,” ujarnya.

Ahmad Lutfi juga gigih dalam membantu semua mangsa yang pernah dizalimi ISA ketika beliau berada di Harakah dan membuat satu tabung khas untuk keluarga mangsa ISA.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham Ahmad Lutfi Othman di kongsi oleh isteri beliau Siti Hawa Samsam.

“Dukacita dimaklumkan suami Ahmad Lutfi b Othman telah kembali ke rahmatullah pada pukul 2.10 minit pagi tadi pada hari lahirnya yang ke-59 dan pada hari Arafah.

“Semoga mencucuri rahmat atas rohnya dan mengurniakan syurga yang tertinggi buatnya, mengampunkan segala dosa dan khilafnya dan menerima semua amal ketaatan dan kebaikannya sepanjang hayatnya yg penuh dengan kebaikan,” tulis isterinya.

Ahmad Lutfi dimasukkan ke hospital UITM Sungai Buloh kerana penyakit yang dialaminya sekian lama, namun 3 minggu yang lalu kondisi beliau agak membimbangkan sehingga beliau dipantau rapi oleh pihak hospital.

Baca juga: Apa Duta Khas Timur Tengah buat dalam kes terkandas ke Mekah, tanya MT Umno

Baca juga: Ceramah ‘live’ Ustaz Kazim jadi huru-hara, peserta wanita meracau dan mengamuk