Pemeriksaan kesihatan pelajar untuk kemasukan sekolah kerajaan hanya RM1

Pemeriksaan kesihatan pelajar untuk kemasukan sekolah kerajaan hanya RM1

Kementerian Kesihatan nafi mengenakan caj sehingga RM100 bagi pemeriksaan kesihatan pelajar untuk kemasukan ke sekolah milik kerajaan, seperti ditularkan di media sosial.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, semua sekolah milik kerajaan termasuk Sekolah Asrama Penuh hanya dikenakan caj sebanyak RM1.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Dr Chen menjelaskan caj pemeriksaan kesihatan sebanyak RM100 hanya dikenakan untuk pelajar sekolah swasta yang merangkumi pakej asas iaitu pemeriksaan fizikal, x-ray dan urine FEME selaras perintah Fi (Perubatan) 1982.

Terdahulu dalam satu kenyataan beliau berkata, Sekolah Asrama Penuh Kerajaan merangkumi sekolah-sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerajaan lain, termasuk Maktab Rendah Sains MARA, Maktab Tentera Diraja dan Sekolah Agama Kerajaan Negeri.

Semalam, seorang pengguna Facebook mendakwa perlu membayar caj RM111 untuk pemeriksaan anaknya yang akan memasuki ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian.

Menurut catatannya yang dimuat naik, beliau dimaklumkan bahawa pengurusan hospital yang dilawatinya mendakwa bahawa caj berkenaan adalah polisi kerajaan baharu.

— BERNAMA