Malaysia Dateline

Pemerintahan PH bukan cari kekayaan, gadaikan kepentingan negara

Pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya menerajui kepimpinan bukannya untuk mencari kekayaan maupun menggadaikan negara.

Sebaliknya PH berusaha sedaya mungkin bagi mengembalikan kedudukan negara pada landasan yang sebenar setelah bejaya menumbangkang Barisan Nasional.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya ketika majlis Iftar Bersatu Negeri Pulau Pinang di Georgetown semalam.

Malah katanya lagi kini pembangkang sedang berusaha bagi memisahkan antara kaum dengan menjadikan orang Melayu sebagai taruhan.

“Pembangkang cuba pisahkan antara kaum dengan memperjudikan orang Melayu sebagai taruhan.

“Disamping itu mereka juga mempropagandakan isu dengan mendakwa DAP menguasai kerajaan PH.

“DAP tidak pernah menguasai negara, sebaliknya PH yang memerintah dengan diterajui oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, ” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata setelah rakyat memberi mandat, maka tanggungjawab yang ada pada PH adalah bagi membela nasib rakyat.

“Usaha yang dilakukan oleh pimpinan PH bukanya untuk mencari kekayaan sepertimana yang diprovokasikan oleh pembangkang.

“Kerajaan PH beriltizam dengan penuh daya usaha dan membuktikan komitmen yang ada berjaya menjatuhkan kerajaan BN yang korup.

“BN kini umpama gila meroyan sehinggakan pencuri pun mereka panggil ‘boss’, ” ujarnya lagi.

Marzuki yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar turut berkata, penyatuan erat seluruh masyarakat berbilang kaum di Pulau Pinang akan ditingkatkan.

Sehubungan ini tegasnya, kesepaduan masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang akan dijadikan contoh untuk menjadi teladan kepada seluruh negara.

“Tanggungjawab kita lebih besar untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan negara daripada kepentingan peribadi.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan yang selamat, maka sudah pasti generasi yang akan datang juga berada dalam keadaan yang lebih selamat.

“Sifat rasuah dan korup harus ditolak kerana ia bukan saja merosakkan negara tetapi juga meninggalkan impak negatif yang amat besar kepada negara, ” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah kepimpinan AMANAH, PKR dan DAP Negeri Pulau Pinang.