Malaysia Dateline

Pemerkasa+ tidak memadai: bantuan isi rumah kecil, tiada manfaat moratorium untuk M40

Jumlah bantuan kepada isi rumah yang diumumkan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) dianggap sangat kecil dan tidak memadai untuk membantu rakyat yang terkesan dengan sekatan pergerakan penuh ketika ini.

Apatah lagi apabila ada kemungkinan yang munasabah bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini akan dilanjutkan selepas 14 Jun nanti.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan berkata, moratorium bank selama tiga bulan juga hanya untuk golongan B40 dan tiada manfaat itu kepada golongan M40, kecuali mereka membuktikan bahawa mereka turut terjejas.

“Sepatutnya moratorium diberi secara automatik (tanpa permohonan) kepada semua golongan B40 dan M40, kerana bank adalah golongan kaya yang sepatutnya memberikan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Bantuan tidak boleh dibuat secara “one-off” seolah-olah ianya dedak, yang sememangnya tidak bertujuan untuk membantu rakyat, tetapi hanya cubaan untuk menaikkan imej politik Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, bantuan diberikan secara one off kepada isi rumah berpendapatan kurang dari RM2,500 sebanyak RM500.

Manakala isi rumah yang berpendapatan antara RM2,500 ke RM5,000, menerima RM300 sahaja.

Sementara itu, Jawatankuasa PH berkata, diskaun bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya kepada golongan yang kelompok kecil sahaja, iaitu hanya 10 peratus dan ia sangat tidak memadai.

Bahkan katanya, pengguna domestik tidak mendapat apa-apa manfaat, sedangkan mereka perlu berada di rumah yang pastinya akan menyebabkan bil domestik meningkat mendadak seperti mana yang berlaku pada Mac dan April tahun lalu.

Tambahnya, subsidi upah juga hanya sebulan sahaja tanpa dinyatakan berapakah subsidi untuk seorang pekerja, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada kadar seorang pekerja masih sama iaitu RM1,200.

“Daripada RM40 bilion yang dinyatakan, sebenarnya RM5 bilion sahaja yang diberikan secara terus dan dapat dirasai oleh rakyat.

“Maknanya RM35 bilion hanya indah khabar dari rupa, bukannya suntikan dana secara langsung tetapi ia adalah fiskal atas kertas sahaja.

“Bantuan harus konsisten dan dapat diramalkan untuk membolehkan orang merancang lebih awal. Ia tidak boleh ditaburkan secara tiba-tiba semasa lockdown yang diumumkan tiba-tiba ini,” katanya lagi.