Malaysia Dateline

Pemerkasaan ekonomi kelompok tertinggal, kunci utama keharmonian rakyat, kata Mat Sabu

Pemerkasaan ekonomi kelompok yang tertinggal dan mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kaum adalah antara kunci utama kepada keharmonian di negara ini, kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Kerajaan pada masa sama harus memastikan ruang keterbukaan yang diberikan kepada rakyat tidak disalah guna untuk menyemai kebencian serta mencucuh api kebencian perkauman dan agama untuk tujuan politik pihak tertentu.

“Ruang keterbukaan tidak harus disalah guna untuk mencapai tujuan politik kumpulan tertentu serta mempertikaikan perkara-perkara yang menjadi peruntukan asas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tanggungjawab kerajaan memelihara perpaduan, kestabilan dan keharmonian di antara rakyat di atas landasan Perlembagaan bukanlah suatu “zero-sum game”, di mana kepentingan dan hak suatu pihak harus dikorbankan untuk kepentingan pihak lain,” katanya dalam Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru semalam.

Konvensyen tiga hari bermula semalam bertemakan ‘Menggalas Amanah, Membina Negara’dihadiri 1,000 anggota perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar serta kira-kira 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara.

Mohamad mengingatkan orang Melayu supaya berani untuk menganjak pemikiran dalam merencana kemajuan bangsa Melayu dengan melangkaui batas sentimen perkauman.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kegagalan orang Melayu untuk maju bukan berpunca dari kewujudan bangsa lain dalam negara tetapi disebabkan kesilapan sikap dan pemikiran kita sendiri,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian perwakilan tentang kesan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin dan pentadbir kerajaan telah menyebabkan kerosakan yang besar dalam negara sehingga menyebabkan hasil dari sumber kekayaan negara tidak dapat sampai sepenuhnya kepada akaun negara tetapi masuk ke poket kroni dan penyamun berkolar putih.

Katanya, ketidakadilan dalam pengurusan dan urus tadbir, sikap tamak, korup dan ketidaksamaan pengagihan kekayaan telah berulang kali menyebabkan krisis kewangan dan ekonomi, yang akhirnya rakyat termiskin yang kerap menanggung beban.

Mohamad turut menegaskan bahawa ujian kuasa datang dengan bebanan amanah dan tanggungjawab dan ianya disaluti dengan segala bentuk cabaran dan ujian.

“Jangan nanti kita mabuk mengecap kuasa dalam nikmat kedudukan dan kesenangan, bimbang nanti kita hanyut dan akhirnya tumbang dengan penuh kehinaan,” katanya sambil mengingatkan bahawa Amanah mesti membuktikan bahawa parti itu dan Pakatan Harapan mampu memikul dan menyempurnakan amanah pentadbiran negara yang diserah oleh rakyat.

Presiden Amanah itu turut mengingatkan perwakilan bahawa jika kerajaan Barisan Nasional yang begitu kuat dan berkuasa sekian lama, akhirnya tumbang di tangan rakyat, tidak mustahil bagi parti itu dan Pakatan Harapan yang baru bertunas untuk dijatuhkan.

“Sedarlah, kekuasaan yang kita miliki hari ini bukanlah milik mutlak melainkan ia adalah pinjaman semata-mata. Jangan sekali-kali kita memperkecilkan suara rakyat.

“Jangan kita gagal memahami keperluan rakyat yang akhirnya hanyut di dalam rencana yang menyimpang jauh dari tuntutan dan keperluan rakyat. Begitu juga, kalau kita lalai dan alpa dengan ujian kuasa dan kesenangan, maka tunggulah masa keruntuhan datang kepada kita,” katanya.

Mengenai ekonomi, Mohamad berkata ketegangan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia, terutamanya Asia Tenggara.

“Bukan sahaja nilai Ringgit, tetapi hampir kesemua nilai mata wang negara-negara emerging market mendapat tekanan disebabkan faktor-faktor ekonomi dunia. Fenomena ini telah memberi kesan langsung kepada keupayaan ekonomi Malaysia dan menjejaskan keutuhan akaun semasa dagangan negara,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah termasuk langkah penjimatan perbelanjaan dan pada masa sama memastikan langkah penjimatan dan pemotongan perbelanjaan yang dilakukan tidak menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata Amanah bertekad terus memainkan peranan dalam kerajaan dan di peringkat antarabangsa bagi mendamaikan konflik dan peperangan yang berlaku.

“Konsep Islam Rahmatal Lil A’lamin sentiasa mendahulukan jalan damai dalam menyelesaikan sebarang pertikaian. Negara-negara umat Islam yang progresif, demokrasi dan meraikan keilmuan perlu disatukan, agar menjadi contoh kepada dunia Islam keseluruhannya,” katanya.

Selagi Amanah berada dalam kerajaan, isu Rohingnya dan seumpamanya tidak akan dibiarkan berterusan tanpa sebarang penyelesaian.

“Ini kerana ia tidak lagi menjadi isu dalaman kepada Myanmar, tetapi isu kita bersama kerana natijah daripada pengusiran dan pembunuhan yang berlaku sampai ke negara kita dan negara jiran sejak puluhan tahun lepas,” katanya.

— BERNAMA