Malaysia Dateline

Pemerkasaan wanita dalam ekonomi, politik asas pembangunan negara

Pemerkasaan wanita dalam aspek ekonomi dan politik, bukan lagi satu pilihan tetapi perkara asas yang perlu menjadi garis ukur bagi pembangunan sesebuah bangsa dan negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kemajuan sesebuah negara tidak wajar diukur melalui pendapatan angka pelaburan asing secara langsung (FDI) mahupun hanya melalui perniagaan.

Beliau turut merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang diterbitkan Disember tahun lalu bahawa tahap pendidikan wanita sangat mengagumkan melebihi lelaki di Malaysia sebanyak 5.3 peratus.

“Namun, peluang dan penglibatan ekonomi wanita adalah 38 peratus kurang daripada lelaki. Penglibatan wanita dalam pembinaan negara serta politik pula hanya 10.8 peratus berbanding lelaki.

“Jika kita melihat kepada impak pandemik COVID-19 pula, UNICEF dalam analisanya ‘Families on the Edge, Issue 3’, melaporkan 64 peratus isi rumah berpendapatan rendah yang diketuai wanita mengalami kesukaran membeli makanan asas berbanding biasa, pada kadar 57 peratus.

“Ketidakseimbangan antara keupayaan wanita dan peluang ekonomi serta politik yang ditawarkan sudah pasti memberi impak kepada situasi kewangan mereka,” katanya dalam satu perutusan sempena Hari Wanita Sedunia hari ini.

Pada masa sama Amirudin berkata, penglibatan dan sumbangan wanita dalam perniagaan, pendidikan, sukan, seni, pentadbiran adalah luar biasa dan wajar untuk diperakui.

Beliau berkata, Selangor akan terus mengorak langkah memperjuang agenda Pengarusperdanaan Gender dan memastikan akses, peluang, serta harapan para wanita terbela di negeri itu.

Menurutnya, setiap lapisan masyarakat di Selangor, sama ada komuniti perniagaan, pentadbiran kerajaan, dan institusi keluarga harus bekerja sebagai satu pasukan untuk memecahkan ‘artificial ceiling’ yang menyekat kemaraan wanita agar potensi sebenar dapat direalisasikan.