Malaysia Dateline

Pemikiran Fadzil Noor merentasi masa, ideologi

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil menyifatkan ayahnya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai Muslim Demokrat sebenar.

Menurut Faiz, bekas Presiden Pas yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002 itu mempunyai pemikiran yang merentasi masa dan ideologi.

 

Faiz bersama Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (kiri) dan Dr Muhaimin Sulam.

 

“Banyak mutiara legasi pemikiran dan perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil yang dikongsi bersama termasuk sikap keterbukaan dan nilai persahabatan yang tinggi dalam kehidupan peribadi dan politik.

“Almarhum Ustaz Fadzil seorang ‘real Muslim Demokrat’ kerana mengangkat perjuangan Islam dan menjunjung amalan demokrasi.

“Semoga legasi perjuangan Almarhum Us Fadzil diteruskan zaman berzaman kerana pemikiran beliau merentasi masa dan ideologi,” dipetik dari Facebook peguam berkenaan.

Malam tadi, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menjadi ahli panel program Malam Kenangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Turut menjadi panelis dalam program anjuran Biro Komunikasi AMANAH Kedah dan anak murid tokoh terkemuka itu ialah Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh; Timbalannya, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam.

 

Antara hadirin yang mengikuti program Malam Kenangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor.