Malaysia Dateline

Pemikiran kerajaan perlu terbuka, guna teknologi moden dalam pendidikan dan pertanian

Kerajaan perlu mengamalkan pemikiran yang lebih terbuka dalam menerima perkembangan teknologi moden yang sepatutnya boleh digunakan dalam sektor pendidikan dan pertanian.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesi pengajaran melibatkan seorang guru mengajar di bilik darjah tidak lagi bersesuaian kerana murid-murid perlu didedahkan dengan lebih banyak ilmu dengan bantuan teknologi.

Menurutnya, beliau sendiri memperoleh banyak ilmu dan pelajaran dari aplikasi YouTube dan ia patut diguna dan dijadikan bahan pembelajaran untuk anak murid.

“Sebab itu saya cadangkan kita gunakan teknologi baru dalam mengajar anak-anak kita di sekolah. Seorang guru ajar dalam bilik darjah tak sesuai dengan zaman ini.

“Kita perlu dapatkan lebih banyak ilmu berbanding dahulu. Dulu ilmu sedikit dah cukup, sekarang kena lebih banyak ilmu terutama di zaman IT,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan juga tidak boleh terus memaksa petani menanam padi di tanah kecil mereka, kerana ianya tidak dapat atasi kemiskinan di kampung-kampung.

Menurutnya, banyak cara lain untuk menambah pendapatan penduduk luar bandar seperti ternakan udang galah, ikan, sayur dan buah-buahan, tanpa mengehadkan petani hanya untuk menanam padi.

“Kita perlu ada pertanian bercampur sebelum dapat atasi kemiskinan di kampung-kampung.

“Teknologi baru perlu digunakan. Kita lihat teknologi beri banyak kemudahan tapi kita tak gunakannya. Ini perkara penting,” katanya.