Pemikiran kontemporari  dikalangan agamawan penting beri kefahaman yang tepat

Pemikiran kontemporari dikalangan agamawan penting beri kefahaman yang tepat

Golongan agamawan yang mempunyai pemikiran bercorak kontemporari dalam pelbagai bidang ilmu adalah penting bagi memberi kefahaman yang tepat sesuai dengan dasar Parti Amanah Negara (Amanah) yang  berteraskan Islam dan membawa slogan Rahmatan Lil’a’lamin.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dr Hasan Bahrom ketika melakukan kerja sosial membersihkan laman rumah mangsa banjir di Melaka baru-baru iniGolongan agamawan yang mempunyai pemikiran bercorak kontemporari dalam pelbagai bidang ilmu adalah penting bagi memberi kefahaman yang tepat sesuai dengan dasar Parti Amanah Negara (Amanah) yang  berteraskan Islam dan membawa slogan Rahmatan Lil’a’lamin.

Naib Presiden Amanah Dr Hasan Bahrom berkata, golongan agamawan harus bekerjasama dalam satu pasukan bagi merangka strategi parti bersama-sama saf kepimpinan.

“Mereka hendaklah menguasai bidang ilmu alat dan fiqh yang kuat agar hala tuju dan gaya tindak parti mengikut landasan yang betul.

 “Pandangan mereka perlu diambil kira tetapi bukanlah kata pemutus yang tidak boleh dipertikai.

“InsyaAllah saya akan berusaha melakukan sesuatu bagi golongan agamawan yang mempunyai pemikiran sederhana, kontemporer agar turut serta, kalau pun tidak secara terus dalam parti kerana terikat dengan peraturan tertentu tetapi menyumbang dari aspek idea dan pemikiran,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Kata beliau lagi, arus perubahan kepada keadaan lebih baik hanya dapat dicapai dengan adanya pemahaman yang jelas hasil daripada masyarakat yang berfikir.

Meskipun sukar untuk dilaksanakan tetapi ujarnya, perkara berkenaan perlu diusahakan dengan penglibatan semua pihak termasuk kehadiran golongan agama dalam parti Amanah.

“Ahli parti dan masyarakat harus diberi pemikiran baru dan terbuka dalam menanggapi sesuatu perkara. Masyarakat yang berfikir adalah mereka yang boleh membuat perubahan selepas memiliki kefahaman jelas tentang sesuatu isu,” jelasnya.

Tiga sebab pilih Amanah

Dr Hassan (empat dari kiri) bersama lima  tokoh akademi yang sertai Amanah baru-baru ini.Menjawab keputusannya untuk bersama Amanah, beliau berkata sekurang-kurangnya terdapat tiga sebab parti Islam yang idea awal penubuhannya bermula dengan Deklarasi Melawati pada 14 Jun tahun lalu itu menjadi pilihan.

“Pertama, gaya kepimpinan yang sederhana, progresif dan tahan uji. Kedua sebuah parti yang unik dan menepati gaya politik masyarakat majmuk berlandaskan Islam sebagai asas perjuangan.

“Ketiga, senario politik mutakhir ini menuntut kerjasama padu antara parti politik pembangkang bagi menumbangkan rejim BN kerana tanpa ikatan yang utuh, BN tidak mungkin tumbang,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Dr Hasan yang mengkhusus dalam bidang Siasah Syar’iyyah dari Universiti Malaya (UM) secara rasmi mengumumkan menyertai Amanah pada 15 Februari lalu.

Turut mengisytihar penyertaan dalam Amanah pada hari yang sama adalah empat ahli akademik lain iaitu Dr Ali Rahman, Dr Sulaiman Mohd Nor, Dr Zaki Latiff, Hamidon Musa dan seorang bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), Yusop Hasan.

TAGS