Malaysia Dateline

Pemikiran Setiausaha Agung Umno umpama goreng pisang, kata Khairy

Pemikiran yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa Umno marah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak menggugurkan kes mahkamah terhadap pemimpin mereka umpama pemikiran goreng pisang.

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, kalau dahulu, pemikiran macam ini dinamakan ‘lobak’ sekarang ia umpama ‘goreng pisang’.

“Kalau sebab kita tidak memberikan sokongan adalah kerana kerajaan ini tidak mahu campur tangan dalam kes mahkamah, itu pemikitan level goreng pisanglah.

“Kualiti IQ dialah. Dulu lobak, kini goreng pisang,” kata Khairy dalam sidang medianya hari ini menjawab hujjah Ahmad Maslan kenapa Umno marah kepada kerajaan PN.

Ahmad sebelum ini berkata, salah satu sebab utama Umno tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.

Ahmad – salah seorang pemimpin Umno yang dihadapkan ke mahkamah – berkata perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.

“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat.

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.

“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu dialog dua hari lalu.

Katanya lagi, penerusan kes-kes tersebut menandakan kerajaan sekarang juga bertindak zalim, justeru PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru.

Ahmad kini sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Selain Ahmad, pemimpin Umno lain yang dibicarakan atas tuduhan rasuah termasuk Najib, presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.