Pemikiran Za’aba mengenai orang Melayu

Pemikiran Za’aba mengenai orang Melayu

Ketika orang Melayu bergelut dengan pelbagai krisis – politik, ekonomi, social, jati diri dan pelbagai lagi, saya teringat Pendeta Za’aba, tokoh intelektual ternama yang mencetuskan pemikiran baru mengenai orang Melayu.

Saya membaca kembali buku tulisan Allahyarham ini, yang berjudul ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’, terbitan Dewan Bahasa pada tahun 1987. Sebuah buku yang sarat dengan kritikan tajamnya mengenai sesetengah perangai orang Melayu.

Tulisannya itu menggambarkan hasratnya untuk memberikan kekuatan berfikir dan jati diri orang Melayu hingga mampu menghadapi cabaran masa kini.

Ini pemikiran yang dicetuskannya lebih setengah abad lalu, tetapi tetap masih releven hingga kini, bahkan pemikirannya itu sangat perlu diangkat segera untuk menjawab segala tantangan yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang ini.

Beliau mengkritik sifat sesetengah orang Melayu yang sentiasa mahu bergantung kepada orang lain atau mengharapkan pertolongan orang lain, enggan berakhtiar sendiri. Hanya mahu berdoa, tapi enggan berusaha dan malas berfikir.

Za’aba juga mengkritik cara sesetengah orang Melayu dalam melaksanakan tuntutan Islam yang menurutnya banyak percaya pada jampi mentera dan ikut-ikutan pada perbuatan sesetengah ‘orang alim’, tetapi sebenarnya ada yang tidak menurut kehendak Islam sebenar.

Pendeta Za’aba mahu orang Melayu bersikap progresif, dynamic, rajin berfikir dan berusaha, melaksanakan Islam yang benar-benar menepati kehendak Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun beliau seorang pendeta bahasa Melayu, namun pemikiran dan kritikannya ternyata ia seorang yang dapat menguasai ilmu sains social, politik, malah ilmu Islam dengan baik.

Beliau menguasai bahasa Inggeris dan Arab dan mengkaji Al-Quran serta hadis sejak zaman remajanya lagi.

Ada sesetengah pihak di zamannya menolak pemikirannya kerana kononnya dianggap pemikiran ‘kaum muda’, tetapi semuanya tidak mengurangkan pentingnya kehadiran dan pemikiran tokoh bernama Za’aba’ ini.

Pada tahun 1973, saya dibawa oleh Allahyarham Tan Sri Prof. Ismail Hussein menziarahinya yang sedang sakit di rumahnya, tidak lama sebelum Allahyarham meninggal dunia.

Allahyarham Za’aba dalam uzurnya itu masih bercakap mengenai orang Melayu, menandakan kecintaannya kepada bangsanya sendiri itu.

Pendeta Za’aba atau nama penuhnya Zainal Abidin Ahmad, lahir  pada 16 September 1895 dan meninggal dunia pada 23 Oktober 1973, seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sejak tahun 1940-an.

Beliau tokoh terkemuka di negara ini, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti Allahyarham juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Tokoh ini dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan, menerima pendidikan awalnya di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Kemudian menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban, orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.

Za’aba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916, dan kemudiannya bertukar ke: Kolej Melayu Kuala Kangsar 1918.

1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur

1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim

1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942

1942: Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951

1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.

Tulisan Allahyarham Za’aba muncul dalam akhbar tempatan dan majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh, dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita dan Ilmu Mengarang.

Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare.

Allahyarham telah dianugerahkan:

1956: Gelaran Pendeta di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga

1959: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Malaya

1973: Ijazah Kehormat dan Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia

1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri.

 

 

TAGS