Pemilihan atlet kategori B ke Sukan SEA ke-30 Manila akan lebih ketat

Pemilihan atlet kategori B ke Sukan SEA ke-30 Manila akan lebih ketat

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan pemilihan atlet kategori B ke Sukan SEA ke-30 Manila akan lebih ketat berikutan prestasi buruk atlet di bawah kategori itu pada Sukan Asia Indonesia pada Ogos lepas.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Pengerusi Jawatankuasa Rebiu Bebas, Tan Sri Dr M. Jegathesan yang ditugaskan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) akan membentangkan cadangan itu pada Januari ini.

Jawatankuasa Rebiu Bebas itu turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad dan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz serta beberapa personaliti sukan tanah air.

“Kita akan memperkasakan proses pemilihan atlet terutamanya dalam kategori B. Berdasarkan pengalaman sebelum ini (Sukan Asia) banyak masalah timbul melibatkan atlet kategori B,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM.

Pada Sukan Asia yang lepas hanya dua daripada 241 atlet kategori B meraih pingat pada temasya edisi ke-18 itu iaitu menerusi Qabil Ambak Mahamad Fathil (perak acara dressage) dan pesilat Kelas C (55-60kg), Hazim Azmad yang meraih gangsa.

Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet akan diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing.

Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B itu akan dibayar semula sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

— BERNAMA