Malaysia Dateline

Pemilihan Bersatu: Hari penamaan calon dianjak lagi dua minggu

Setiausaha Agung Bersatu, Senator Datuk Wira Marzuki Yahya hari ini memberitahu tarikh penamaan calon sempena pemilihan parti itu yang sepatutnya esok ditangguhkan kepada 26 Januari ini.

Perubahan itu dimaklumkan melalui surat pekeliling kepada kepada semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pimpinan parti di peringkat negeri, bahagian dan Armada serta Srikandi dan ahli-ahli Bersatu

“Tarikh persidangan cawangan akan dimaklumkan selepas keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Sebarang bantahan dan aduan mengenai penempatan keahlian seperti arahan pentadbiran sebelum ini yang berakhir pada 12 Januari 2020 adalah kekal,” dipetik dari surat pekeliling itu.

Pemilihan Bersatu menggunakan sistem satu ahli satu undi di mana ahli-ahli yang layak akan mengundi bagi memilih pimpinan di peringkat bahagian.

Calon-calon bertanding di peringkat bahagian akan mengemukakan borang pada hari penamaan calon yang dijadual 26 Januari ini bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Borang-borang pencalonan boleh dikemukakan terus di pejabat-pejabat Bersatu bahagian masing-masing.

Pengesahan sama ada mereka layak bertanding pada pemilihan nanti akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti Peringkat Pusat selepas itu.

Persidangan cawangan didahului dengan persidangan Srikandi dan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi serta Armada Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Srikandi serta Armada Bahagian masing-masing.

Persidangan bahagian pula akan memilih MPT, iaitu barisan kepemimpinan parti pada peringkat pusat.

Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian bagi memilih Jawatankuasa masing-masing perlu diadakan sebelum persidangan bahagian.

Ahli parti yang ingin bertanding jawatan peringkat cawangan, termasuk Srikandi dan Armada, tidak perlu mendaftarkan pencalonan masing-masing.

Sebaliknya, mereka mesti berdaftar sebagai ahli parti dan menjelaskan yuran tahunan atau ahli seumur hidup.

Bagi Armada, hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke bawah pada 1 Januari 2019 yang layak menghadiri persidangan serta bertanding bagi jawatan dalam sayap tertakluk kepada syarat yang terpakai.