Malaysia Dateline

Pemilihan BERSATU: Kekal atau ubah?

Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah bermula sejak seminggu yang lalu merupakan pemilihan kepimpinan parti yang julung-julung kali diadakan sejak parti ini ditubuhkan.

Ia bakal menjadi titik tolak kepada perubahan kepimpinan parti samada di peringkat akar umbi mahupun di peringkat atasan parti.

Pemilihan kali ini akan menentukan kelangsungan parti BERSATU pasca PRU14 sebagai sebuah parti kerajaan.

Secara realitinya, BERSATU masih bergelut untuk memenangi dan menawan hati ahli akar umbi orang Melayu terutama di luar bandar malah cabaran juga dapat dilihat dalam menarik sokongan generasi muda dan kumpulan profesional untuk sama-sama menyertai perjuangan ini.

Calon-calon kepimpinan yang menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan pada pemilihan kali ini perlu menunjukkan kebolehan yang tinggi dari segi kepimpinan supaya kewibawaannya tidak lagi diragui.

Ia penting bagi berdepan cabaran yang semakin membadai parti sama ada dari luar mahupun dalam dan mampu untuk menongkah arus melakukan perubahan yang drastik bagi mengembalikan parti di satu landasan yang tepat sebagai sebuah parti bernuansa Melayu Islam.

Sebagai parti politik yang bernuansa Melayu Islam, aspek nilai yang diajar dalam tradisi dan adat resam Melayu itu yang bersulam panduan Islam mestilah menjadi pegangan setiap ahli parti.

Pemilihan pada kali ini menjadi satu titik penting bagi ahli untuk menilai serta memilih kepimpinan yang digariskan oleh Islam dan tidak lari dari adat budaya orang Melayu.

Hal ini penting bagi menolak kepimpinan atau individu-individu yang melakukan kesalahan-kesalahan moral dan di luar dari lingkungan teras budaya Melayu Islam.

Sebagai sebuah parti yang menjadi salah satu tunjang utama dalam kerajaan, pemilihan kali ini juga tidak hanya boleh dilihat secara dalaman parti sahaja.

Ia perlu dilihat dengan skop yang lebih luas di mana pada hari ini, rakyat secara majoriti masih terhimpit dengan pelbagai masalah seperti isu pendidikan, ekonomi, kos sara hidup dan masalah sosial yang semakin menular.

Kita menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir, Pengerusi BERSATU merangkap Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinet untuk menyelesaikan isu yang menghimpit rakyat saban hari.

Pun begitu, sepertimana kerap ditegaskan oleh Dr Mahathir, bahawa beliau akan melepaskan jawatan dalam kerajaan selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November ini, ia juga harus dilihat sebagai satu lagi titik penting dalam parti di mana ahli-ahli perlu memilih kepimpinan yang menjadi pewaris legasi kepimpinan YAB Tun sama ada dari segi politik dan urus tadbir kerajaan.
BERSATU harus menumpukan pembangunan dan menonjolkan “leaders in waiting” supaya parti ini terus kuat dan disegani.

Apapun, pemilihan parti BERSATU yang pertama ini adalah ruang dan peluang untuk ahli di akar umbi didengar suara, pandangan dan keluh-kesah mereka.

Ahli parti juga perlu mengambil saat dan ketika ini untuk menilai kembali prestasi dan keupayaan kepimpinan yang telah dilantik. Namun, harus waspada, seperti mana pepatah Melayu berpesan, musang berbulu ayam, jangan pada musim pemilihan ini semua baik dan manis-manis sahaja tetapi setelah mendapat apa yang dihajati, tersingkap belang yang sebenar.

Nilai Melayu Islam itu tiada kompromi. Anasir-anasir luar seperti budaya samseng, anarkis, fitnah-menfitnah, menyokong perbuatan maksiat serta lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT) dan sebagainya wajib ditolak.

Mandat yang diberi dalam pemilihan kali ini perlu digunakan sebaik-baiknya bagi memastikan kepentingan kumpulan teramai dapat dibela, bukan lagi hanya berfokuskan individu atau kepentingan peribadi sahaja.

Kita juga perlu membuat satu perubahan yang amat signifikan dalam parti ini, sepertimana yang selalu disebut oleh Dr Mahathir bahawa perlu ada sikap amanah dan malu apabila melakukan kesalahan.

Ia sekali gus akan menjadikan BERSATU sebuah parti yang bebas amalan politik wang terutama sekali dalam pemilihan pertama kali ini. BERSATU perlu keluar dari bayangan Umno 2.0.

Selamat Bersidang buat semua ahli BERSATU!

 

* Penulis adalah Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Nasional dan calon Ketua ARMADA Nasional pada pemilihan julung kali diadakan tahun ini.