Malaysia Dateline

Pemilihan calon Pemuda AMANAH Nasional bukan berdasarkan sistem cai

 

Menjelang Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) Jumaat ini, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan memberitahu bahawa pemilihan seseorang calon itu bukanlah berdasarkan kepada sistem cai.

Sebaliknya, Mohd Sany berkata calon-calon akan dipilih itu adalah berdasarkan merit kerja dan pengalaman yang ada pada mereka itu sendiri.

“Yang biasa saya sebutkan ialah, dalam sesebuah pertandingan yang menang adalah Pemuda AMANAH Nasional.

“Manakala, calon yang kurang bernasib baik tidak terpilih itu juga daripada Pemuda AMANAH Nasional. Ini kerana perwakilan sudah bijak untuk membuat sebarang pilihan mengenai calon-calon.

“Perwakilan akan memilih calon berdasarkan merit kerja dan kemampuan seseorang calon untuk dipilih bukanlah berdasarkan kepada cai,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Mohd Sany yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer mengulas demikian ketika ditanya mengenai pandangan beliau menjelang Konvensyen Nasional AMANAH.

Konvensyen Nasional AMANAH pada Jumaat hingga Ahad ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.

Konvensyen parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertemakan ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ itu akan menyaksikan pemilihan pertama selepas menjadi kerajaan.

Sehubungan itu, Mohd Sany berpendapat konvensyen peringkat nasional itu wajib dijadikan medan untuk semua perwakilan dan barisan kepimpinan bermuhasabah tentang detik-detik positif atau sebaliknya.

Jelasnya, bermuhasabah itu adalah daripada segi melihat kembali kejayaan atau pun kegagalan Pemuda AMANAH Nasional berfungsi sepanjang tempoh setahun ini.

“Perwakilan juga harus memberikan pandangan mereka berkaitan perancangan yang perlu dilakukan untuk tempoh setahun akan datang seperti gerak kerja program dan aktiviti untuk menguatkan AMANAH serta Pakatan Harapan (PH),” ujarnya lagi.

Ditanya apakah harapan beliau terhadap pimpinan baharu Pemuda AMANAH Nasional, Adun Taman Templer itu berharap mereka akan terus bekerja dan menimba ilmu.