Pemilihan Karmaine mampu tarik perhatian pengundi, kata AMANAH Johor

Pemilihan Karmaine mampu tarik perhatian pengundi, kata AMANAH Johor
Aminolhuda Hassan

Parti AMANAH Negara (AMANAH) menyifatkan pemilihan anak tempatan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai amat diperlukan.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan menerima secara positif calon PH Karmaine Sardini sebagai seorang tokoh berkaliber yang mempunyai sikap merendah diri itu, dijangka akan mampu menarik perhatian pengundi Tanjung Piai.

“Beliau dilihat positif dari segenap sudut dan keperibadian beliau yang baik akan menonjolkan diri beliau selaku calon mampu menang di sini.

“Perkara lain yang mampu dibawa beliau adalah penglibatan beliau dengan masyarakat, hubungan yang sangat erat serta calon yang mempunyai hala tuju jelas terhadap pembangunan di Tanjung Piai ini.

“Bagi kami (AMANAH) kerja dengan beliau akan lebih mudah kerana selain anak tempatan beliau juga sudah terbiasa dengan keadaan geografi di sini,” ujarnya ketika ditemui di program Pengumuman Calon PH PRK Tanjung Piai.

Suhaizan Kaiat

Aminolhuda turut menyatakan gerak kerja AMANAH seterusnya adalah memperkenalkan calon tersebut kepada orang ramai dan setakat ini program ramah mesra dengan pengundi sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PH Johor, Suhaizan Kaiat berkata calon ini mempunyai keluarga yang besar di Teluk Kerang, Tanjung Piai.

“Beliau merupakan tokoh yang lama dalam politik semasa dalam Umno lagi dan selepas itu beliau bersama-sama dengan Allahyarham Dr. Farid mengasaskan Bersatu di Tanjung Piai.

“Beliau juga mempunyai pengaruh yang besar di sini selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik serta mendapat sambutan yang baik di kawasan pendalaman Tanjung Piai.

“Dahulu kita tak boleh dapat sokongan di kawasan pendalaman Tanjung Piai ini jadi susuk tubuh calon ini akan dilihat dapat memenangi hati mereka.

“Kita akan memastikan bahawa calon PH ini menang di kawasan ini dan dengan gerak kerja yang baik saya yakin ia akan membuahkan kemenangan,” katanya ketika ditemui.

Suhaizan yang merupakan Naib Pengerusi AMANAH Johor berkata beliau optimis dengan pemilihan calon dari PH pada PRK Tanjung Piai ini.

Semalam Pengerusi PH Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan calon bagi PRK Tanjung Piai  adalah Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmini Sarbini,66, seorang ahli perniagaan dan arkitek.

PRK P.165 itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon Pas , Nordin Othman.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/karmaine-sardini-calon-ph-tg-piai/