Pemilihan Kawasan Pulai, Aziz ganti Suhaizan

Pemilihan Kawasan Pulai, Aziz ganti Suhaizan

Selepas Suhaizan Kaiat mengumumkan untuk menarik diri dari dipilih menjadi Ketua Kawasan AMANAH Pulai, jawatan tersebut telah diisi dengan pelantikkan Abdul Aziz Mohammad.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) AMANAH Kawasan Pulai telah dipilih oleh Ahli Jawatankuasa yang baharu pada Sabtu lalu ketika Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Pulai Kali Ke-4 Tahun 2019 di bangunan MPC Johor Bahru.

Abdul Aziz Mohamad

Pulai yang merupakan satu-satunya parlimen yang dimenangi oleh parti AMANAH telah berjaya melantik serta memenuhkan jawatan-jawatan penting dalam mesyuarat tahunan tersebut.

Untuk jawatan Timbalan Ketua Kawasan tempat tersebut telah diisi oleh Muntaha Ahmad manakala untuk Naib Ketua 1 ianya telah diisi oleh bekas Timbalan Ketua mereka Abdullah Ideris dan Naib Ketua 2 telah diisi oleh Norhayati A Majid.

Perkara itu telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Mesyuarat Tahunan AMANAH Pulai, Najib Daud ketika mesyuarat itu berlangsung.

Beliau menyatakan pemilihan Kawasan Pulai adalah yang paling mencabar kerana selain menggunakan sistem baharu ‘e-voters’, faktor lain adalah berkenaan dengan pengesahan perwakilan yang diterima pada saat akhir.

Namun perkara itu dapat ditangani dengan penjelasan dari pihak jawatankuasa pemilihan yang menegaskan serta menerang berkenaan dengan prosuder pemilihan.

Dalam pada itu, Aziz ketika dihubungi berkata pelantikkan beliau akan menggambarkan bahawa komitmen untuk membawa konsep ‘rahmah’ dengan lebih luas lagi di Pulai khususnya.

Selain bersyukur dengan pelantikkan tersebut, beliau juga telah membayangkan tanggungjawab yang akan digalas beliau memerlukan sokongan semua pihak.

“Saya akan memastikan agenda ‘Rahmatan Lil Alamin’ akan diterapkan dalam setiap gerak kerja kita (ahli) di kawasan Pulai ini.

“Seiring dengan perkembangan politik tanah air, kepedulian kita dalam membantu masyarakat adalah merentasi sempadan fahaman agama, politik dan warna kulit.

“Saya mengajak kita semua ahli parti di setiap peringkat dan sayap untuk bersama dalam setiap gerak kerja yang kami rancang supaya ianya memberikan kesan yang maksima dan berjaya mencapai matlamat,” ucapnya ketika mesyuarat tahunan berkenaan.

Selain itu, AJK lain yang turut terpilih dalam pemilihan tersebut adalah, Abdul Rahman Md Daud, Yunos Abu Bakar, Nabilah Daud, Za’aba Ibrahim, Azam Haron, Shahrim Adon, Khailiza Johari, Md Sadakah Abdullah, Rohani Ismail, Yusuof Sayadi dan Suhaizan Kaiat yang turut tersenarai dalam 15 AJK yang dipilih.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden AMANAH Nasional yang merupakan Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Dato Salahuddin Ayub.