Pemilihan Melaka, bertepatan imbau sejarah pengisytiharan merdeka

Pemilihan Melaka, bertepatan imbau sejarah pengisytiharan merdeka

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi program Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2019, adalah bertepatan bagi mengimbau sejarah pengisytiharan kemerdekaan negara yang dibuat di Banda Hilir pada 20 Februari 1956.

Menelusuri sejarah lalu, Adly yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka berkata, rombongan Merdeka yang pulang dari kota London itu, mendapat sambutan meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang, di Dataran Pahlawan, Melaka, malam tadi.

Katanya, mereka diarak dengan diiringi oleh kumpulan pemuda bermotosikal dan puluhan buah kereta ke Padang Banda Hilir, Melaka.

“Sebaik sahaja tiba di Padang Banda Hilir, Melaka, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memulakan ucapan terima kasih diatas sokongan padu yang diberikan.

“Seterusnya, Tunku mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

“Serentak dengan pengumuman kemerdekaan itu, laungan keramat “Merdeka” bergema di Padang Banda Hilir yang kini dikenali sebagai Dataran Pahlawan.

“Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh 100,000 orang yang hadir dari seluruh pelusuk Persekutuan Tanah Melayu dan sejarah ulung telah tercipta pada masa itu di bumi Melaka ini.

“Sehubungan itu, mewakili seluruh rakyat negeri ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada Melaka pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang, di Dataran Pahlawan, Melaka, malam tadi.