Pemilihan Pemuda AMANAH: Pemuda Bekerja perkenal 27 calon

Pemilihan Pemuda AMANAH: Pemuda Bekerja perkenal 27 calon

Pemuda Bekerja buat pertama kalinya memperkenalkan 27 calon barisan pimpinannya yang akan bertanding sebagai calon Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, menentang dua lagi pasukan yang bertanding iaitu Pemuda Bangkit dan Pemuda Wibawa.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, majlis yang dilancarkan itu sebagai sesi memperkenalkan ahli pasukan dan gagasan ‘531’ yang dibawa.

Menurutnya, pasukan Pemuda Bekerja diperkenal lebih awal supaya kepimpinan barisan AMANAH dapat menilai lebih awal dalam tempoh tiga bulan sebelum pemilihan dilakukan pada bulan Oktober.

“Program yang di rancang dalam masa dua minggu ini sebagai sesi perkenalan Pemuda Bekerja dan gagasan yang nak dibawa.

“Mengapa Pemuda Bekerja? Ini kerana sekarang masanya kita bekerja untuk rakyat. Bukan masa bertelingkah dan jatuhkan orang dengan berita palsu. Ini masanya kita berkhidmat untuk rakyat.

“Pada saya, kita kena perkenalkan line up ini pada awal supaya Pemuda AMANAH boleh menilai pasukan ini dan kelayakan mereka menerajui Pemuda AMANAH Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pemuda Bekerja di SkyArk, Taman Wahyu KL, semalam.

Barisan calon yang diperkenalkan oleh Pemuda Bekerja.

Difahamkan, Pemuda Bekerja membawa gagasan 531 yang menawarkan lima teras utama bagi memandu Pemuda AMANAH untuk tempoh tiga tahun mendatang di bawah satu pasukan yang bersatu dalam kepelbagaian.

Lima teras tersebut merupakan untuk memacu pembinaan Negara Rahmah; Membina pengaruh di negeri majoriti Melayu; Memperkasa organisasi; Memantapkan sistem latihan dan pengkaderan; dan Membangunkan program kebajikan yang mampan.

Turut hadir, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK); Pemuda Bersatu; Liga Pemuda Malaysia; Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada); dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Dalam majlis tersebut juga, kesemua calon Pemuda Bekerja turut memeterai dokumen surat aku janji sebagai satu pasukan yang akan bertanding di dalam pemilihan Pemuda AMANAH.

Tujuh calon utama yang menerajui Pemuda Bekerja ialah Hasnul Zulkarnain; Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Kevin Shawn Gomez; Ketua Pemuda AMANAH Johor, Taqiuddin Cheman.

Seterusnya, Naib Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zubair Wan Ab Rahim; Pengerusi Biro Antarabangsa, Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Nasaie Ismail; dan Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Khairuddin Daud.