Malaysia Dateline

Pemilihan penuh berhemah bukti AMANAH matang dan mantap

Pemilihan kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) di semua peringkat yang berlangsung dengan tenang, penuh berhemah dan professional membuktikan kematangan dan kemantapan AMANAH.

Menurut Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, kemuncak proses pemilihan yang berlangsung malam tadi iaitu di peringkat nasional dijalankan dalam suasana penuh mahabbah bak pertandingan adik beradik, tiada kekecohan dan bantahan menzahirkan lagi sikap tawadhuk, berlapang dada, toleransi serta mementingkan parti dalam kalangan pemimpin, perwakilan dan ahli-ahli parti AMANAH.

Mohd Sofi Abdul Wahab

“Tiada kekecohan, rasa tidak puashati dan bantahan ditunjukkan oleh pemimpin, perwakilan dan pemerhati semasa proses pengundian, pengiraan dan pengumuman keputusan pemilihan tersebut,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Malah katanya, pemilihan yang dijalankan secara atas talian menggambarkan sikap keterbukaan, professional dan matang ahli parti semua peringkat yang sedia menerima teknologi sebagai alat untuk memudahkan urusan penting sesebuah organisasi.

“Keputusan pemilihan pula secara umumnya menggambarkan sikap matang perwakilan yang memilih pemimpin berdasarkan merit, pengalaman, sumbangan, karisma, istiqamah, tahan uji dan kekentalan masing-masing.

“Jelas terpancar riak-riak gembira para perwakilan yang menggambarkan rasa puashati terhadap keputusan tersebut. Tiada keputusan mengejut yang berlaku sebagaimana keputusan pemilihan di peringkat negeri dan kawasan yang menunjukkan ramai pemimpin yang tewas mengejut.

“Ada sesetengah pihak mendakwa kekalahan tersebut adalah disebabkan penangan ‘cai’ yang menyebabkan perwakilan memilih berdasarkan ‘cai’ bukan berdasarkan profil dan latarbelakang calon,” katanya.

Tegasnya, pelantikan semula Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub masing-masing sebagai Presiden dan Timbalan Presiden juga memperlihatkan kesepaduan pemikiran dan tindakan 27 pemenang dalam pemilihan malam tadi serta pengerusi-pengerusi negeri dan sayap-sayap.

“Walaupun kedua-dua pemimpin utama tersebut tidak mendapat undi tertinggi tetapi mereka tetap diangkat sebagai pemimpin yang dihormati dan disegani untuk terus mengemudi AMANAH selama tiga tahun lagi.

“Tidak syak lagi dari keputusan pemilihan ini AMANAH dilihat sebagai sebuah parti yang mantap, matang dan punya masa hadapan yang cerah bersinar.

“AMANAH juga sudah tentu dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan. Diharapkan AMANAH akan terus menjadi parti contoh, tonggak dan pendokong utama kepada keutuhan dan kesinambungan Pakatan Harapan,” katanya.

Justeru, katanya, kemantapan dan keutuhan AMANAH sudah tentu menjadi aset penting bagi Pakatan Harapan bagi memacu perjuangan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Syabas AMANAH, pemimpin dan seluruh ahlinya. AMANAH adalah parti masa hadapan,” ujarnya.