Pemilihan PKR:  Calon dibenarkan guna strategi kreatif berkempen

Pemilihan PKR: Calon dibenarkan guna strategi kreatif berkempen

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak menjadi kesalahan untuk calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti itu bulan hadapan untuk menggunakan idea kreatif dan media baharu untuk berkempen.

Beliau bagaimanapun mengingatkan calon agar tidak menawarkan sebarang bentuk habuan atau membuat ugutan terhadap anggota yang layak mengundi bagi meraih sokongan mereka yang sekali gus akan merosakkan prinsip demokrasi dalam parti itu.

“Ia (kempen melalui media sosial) bagi pemilihan ini (secara) cukup kreatif, selagi mana tidak melanggar undang-undang berkempen ia bukan satu kesalahan bagi saya.

“Apa yang tidak boleh adalah kempen berbentuk memberi tawaran serta habuan yang boleh menyebabkan proses demokrasi itu bertukar menjadi kotor,” katanya ketika ditemui media diibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Saifuddin Nasution diminta mengulas tindakan segelintir calon yang bertanding dalam pemilihan parti kali ini yang menggunakan media sosial bagi berkempen mendapatkan sokongan.

Pemilihan PKR 2018 akan diadakan pada 14 Sept sehingga 13 Okt depan menggunakan sistem e-undi, iaitu proses penggundian menggunakan kertas undi digital dalam peranti elektronik bagi menjimatkan masa, kos serta tenaga manusia.

Kira-kira 800,000 anggota PKR layak memilih pada pemilihan parti kali ini.

Pada Ahad Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi kerusi Presiden PKR.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Ismail Yusof.

Sebanyak 68 borang pencalonan diterima untuk jawatan ahli MPP, 20 borang pencalonan untuk jawatan Exco Wanita PKR Pusat, dan 42 borang pencalonan untuk Exco AMK Pusat.

COMMENTS

Wordpress (0)