Pemilihan PKR: Calon harus elak kempen secara destruktif

Saifuddin semasa melawat dan taklimat Program Food Bank di Sg. Dua, Pulau Pinang.

Semua calon yang ingin bertanding bagi merebut apa jua jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mesti mengelakkan kempen secara destruktif.

Kempen secara destruktif boleh memberi kesan yang buruk ke arah kerosakkan semua pihak.

Sebaliknya calon haruslah berkempen dengan lebih konstruktif tanpa terdorong untuk berkempen dengan sifat membunuh karektor calon lain.

Demikian diingatkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas melancarkan taklimat dan program Food Bank di Teso Sg Dua, Pulau Pinang semalam.

Jelas beliau lagi, PKR adalah sebuah parti yang mengamalkan sikap keterbukaan, bebas dan memberi ruang kepada ahli parti untuk memilih calon yang mereka sokong.

Sehubungan itu ujarnya, kebebasan yang dibenarkan tidak harus disalahgunakan dengan membelakangkan disiplin yang baik.

“Jangan rendahkan keupayaan anggota lain dengan tuduhan yang melampau batasan.

“Seharusnya pemimpin yang hendak dipilih adalah mereka yang berketrampilan untuk membawa hala tuju sebenar parti.

“Selain itu mereka haruslah memilih calon yang sanggup memberi komitmen, sumbangan, idea dan menghargai sumbangan akar umbi,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, parti tidak pernah menghalang mana-mana calon untuk bertanding dan mereka harus menggunakan platform yang ada dengan sebaik mungkin.

Oleh kerana itu tambahnya, menjelang pemilihan kerusi yang dipertandingkan semua calon dinasihatkan supaya mengutamakan kepentingan parti dan mengelakkan apa jua konflik.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote