Pemilihan PKR: Diugut bunuh, lelaki buat laporan polis

Pemilihan PKR: Diugut bunuh, lelaki buat laporan polis

Seorang lelaki yang bimbang tentang keselamatan dirinya tampil membuat laporan polis selepas berlaku pertikaman lidah antara beliau dan salah seorang calon bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sarikei semalam.

Lelaki berusia 61 tahun yang juga merupakan calon bertanding dalam pemilihan parti di cabang tersebut membuat laporan di Balai Polis Sarikei pada 11.22 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Awang Arfian Awang Bujang yang mengesahkan laporan itu dibuat, berkata sebelum itu lelaki berkenaan menasihati seorang calon berusia 72 tahun untuk mematuhi peraturan pemilihan parti tetapi tidak dihiraukan, sebaliknya beliau dihamburkan dengan kata-kata kesat.

“Kejadian tersebut berlaku di pusat pengundian di Jalan Layang-Layang sekitar 10.50 pagi, namun berjaya dikawal polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata rakan pengadu memberitahu bahawa lelaki tersebut mengugut memanggil kumpulan samseng untuk memukul dan membunuh mangsa.

“Pengadu berasa amat takut akan keselamatannya dan membuat laporan untuk tindakan pihak polis,” katanya dipetik bernama.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pemilihan PKR Cabang Sarikei menyaksikan bekas Anggota Parlimen (MP) Julau Datuk Sng Chee Hua yang juga bapa kepada MP Julau Larry Sng Wei Shien, memenangi jawatan Ketua Cabang selepas menewaskan pencabarnya Wong Ching Tung, dengan meraih 185 undi.