Pemilihan PKR: Polis terima 10 laporan

Pemilihan PKR: Polis terima 10 laporan

Polis Melaka menerima 10 laporan berkaitan Pemilihan PKR 2018 negeri yang diadakan pada Sabtu lepas (20 Oktober), kata Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah laporan yang diterima daripada Sabtu lepas hingga semalam (22 Okt), empat laporan polis diterima di sekitar daerah Melaka Tengah manakala enam laporan diterima di daerah Alor Gajah.

Laporan berkenaan dibuat ekoran ketidakpuasan hati terhadap sistem e-voting yang digunakan dalam pemilihan berkenaan selain kelewatan keputusan pemilihan bagi negeri Melaka.

“Ada juga antara laporan yang dibuat kerana mendakwa mereka ahli parti tetapi nama mereka tiada dalam senarai untuk mengundi.

“Berdasarkan laporan yang diterima tiada unsur jenayah dikenal pasti dan kita telah menyerahkan laporan berkenaan kepada Ibu Pejabat PKR untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak polis menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil.

Pada Ahad lepas, dua calon Ketua Cabang Tangga Batu, Alias Abd Wahab, 59, dan Abdullah Ali, 48, membuat laporan polis mendakwa sistem e-voting Pemilihan PKR 2018 tidak telus dan wujud unsur sabotaj.

Laporan berkenaan turut menggesa pihak JPP PKR menyelesaikan segera masalah itu dan menentukan kedudukan cabang terlibat.- Bernama.